PKPP: PDRM tahan 140 individu ingkar arahan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 140 individu, semalam, atas kesalahan mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

-Advertisement-

Daripada jumlah itu, 32 individu direman dan 108 lagi dikenakan kompaun kerana terbabit aktiviti kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PDRM melakukan 62,530 pemeriksaan, semalam, bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP.

“Sebanyak 3,358 pasukan pematuhan membabitkan 14,189 anggota, membuat pemantauan di 4,280 pasar raya, restoran (6,008), penjaja (1,819), kilang (1,331), bank (3,871) dan pejabat kerajaan (854).

“Sebanyak 1,316 terminal pengangkutan darat, 270 terminal pengangkutan air dan 91 terminal pengangkutan udara juga dipantau oleh pasukan pematuhan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

-Advertisement-

Selain itu, beliau memaklumkan, PDRM berjaya menangkap dua warga asing atas kesalahan imigresen pada Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng.

Katanya, 63 sekatan jalan raya dilakukan di seluruh negara, semalam, dengan 20,178 kenderaan diperiksa bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI), terutama di lorong tikus.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram.

“Agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan, terutama di lorong tikus,” katanya.

-BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share