Menteri letak jawatan, protes terus memuncak

Estimate Reading Time: 2 minutes

BEIRUT: Golongan elit politik Lubnan terus berdepan tekanan pelbagai pihak susulan insiden letupan yang disebabkan kecuaian, menyaksikan dua menterinya meletak jawatan sementara penunjuk perasaan yang berang bertempur dengan pasukan keselamatan.

-Advertisement-

Ketika harapan semakin pudar untuk menemui mangsa terselamat dalam letupan pada Selasa lalu itu, media sosial di negara itu terus dibanjiri dengan ‘posting’ kemarahan, selepas semalaman menyaksikan kumpulan penunjuk perasaan menyerang beberapa pejabat kementerian di bandar raya ini.

Satu gambar viral dalam talian menunjukkan kehancuran kota pelabuhan itu, dengan satu tembok tertulis mesej yang dilukis dengan semburan: ‘Kerajaan saya yang melakukan ini’.

Biarpun belum diketahui punca yang menyebabkan simpanan ammonia nitrat itu terbakar sehingga meletuskan letupan besar, penunjuk perasaan mengatakan tragedi itu tidak mungkin terjadi tanpa adanya rasuah dan ketidakcekapan oleh pihak pemerintah Lubnan.

“Mereka yang meninggal dunia disebabkan negara ini tidak menghiraukan sesuatu kecuali kuasa dan wang,” kata penunjuk perasaan, Tamara, 23, rakan kepada Rawan, 20, yang terbunuh dalam letupan itu.

“Tidak cukup itu, menteri mesti meletak jawatan. Mereka yang meletakkan bahan letupan di sana mesti dipertanggungjawabkan. Kami mahu mahkamah antarabangsa memberitahu kami siapa yang membunuh (Rawan),” katanya.

-Advertisement-

Letupan di pelabuhan Beirut itu mengorbankan sekurang-kurangnya 158 orang dan mencederakan lebih 6,000 mangsa.

Penyelidik hak asasi manusia Lubnan, Aya Majzoub memaklumkan beberapa pasukan keselamatan melepaskan tembakan gas pemedih mata dan peluru getah ke arah penunjuk perasaan.

“Daripada mengerahkan tentera untuk membantu penduduk membersihkan runtuhan, pihak berkuasa Lebanon memilih untuk mengerahkan mereka dan pasukan keamanan lain untuk menentang penunjuk perasaan” katanya.

Sementara itu, Menteri Penerangan, Manal Abdel Samad dan Menteri Alam Sekitar, Damianos Kattar, meletak jawatan sekali gus menjejaskan kredibiliti pentadbiran pimpinan Perdana Menteri, Hassan Diab.

Kattar yang menganggap letupan itu sebagai ‘malapetaka sangat besar’ juga berkata, dia sudah hilang harapan dengan kerajaan.

Beberapa Ahli Parlimen juga turut meletak jawatan dan media tempatan melaporkan Diab mungkin membuat keputusan untuk mengumum peletakan jawatan seluruh Kabinetnya.

– AFP

Share this Article
  • 3
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    3
    Shares