Menteri mohon maaf kepada pengguna media sosial atas isu lesen Finas

Estimate Reading Time: < 1 minute

ISKANDAR PUTERI: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah memohon maaf kepada pengguna media sosial atas kesilapan kenyataannya berhubung isu lesen Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) baru-baru ini.

-Advertisement-

“Sebagai menteri, saya kena minta maaf kerana ketika menjawab soalan itu di Dewan Rakyat pada 23 Julai, saya jawab lurus sangat.

“Rupanya orang politik tidak boleh lurus, bila lurus kena pelangkung (hentam),” katanya.

Beliau berkata, selepas 20 jam menjawab soalan itu, beliau membincangkan perkara itu di Kabinet yang memutuskan orang ramai bebas menggunakan YouTube dan Tik Tok untuk memuat naik kandungan.

“Jangan risau, tidak akan dikenakan apa-apa tindakan. Kebebasan itu dijamin sepenuhnya,” katanya ketika berucap merasmikan Bengkel Kemahiran YouTube dan Komuniti Sinema 2020 Zon Selatan di Iskandar Malaysia Studios semalam.

-Advertisement-

Kejujuran beliau disambut dengan tepukan dan sorakan gemuruh lebih 200 hadirin pada majlis itu, termasuk Youtuber atau penggiat YouTube popular, Mat Dan dan Tuah Adzmi yang diundang sebagai panel dalam program itu.

Program anjuran Finas itu bertujuan mendedahkan bakat muda dengan ilmu media baru, khususnya YouTube dalam menjana pendapatan.

Pada 23 Julai lalu, Saifuddin menjadi tumpuan pengguna internet apabila dilaporkan berkata, penerbit filem termasuk media baru seperti YouTube wajib memohon Lesen Pengeluaran Filem dan Surat Perakuan Penggambaran (SPP) bagi penerbitan filem di platform media sosial atau saluran tradisi.

Kenyataan itu mengundang kritikan pelbagai pihak, khususnya generasi muda yang merupakan pengguna majoriti media sosial.

-FMT

Share this Article
  • 2
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    2
    Shares