Garis panduan kendali kes keganasan rumah tangga ditambah baik

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 26 Ogos — Garis panduan pengendalian kes keganasan rumah tangga perlu ditambah baik, selaras komitmen kerajaan mengatasi isu berkenaan.

-Advertisement-

Ia bagi membolehkan penyedia perkhidmatan memanfaatkannya, selain menjadi rujukan kepada mangsa bagi mengenal pasti hak dan memudahkan mereka mendapatkan perlindungan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata cadangan itu dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Menangani Keganasan Rumah Tangga pada 4 Jun lalu.

Sehubungan itu, katanya, Pelan Tindakan Sosial Islam juga akan dijadikan rujukan dalam menambah baik garis panduan itu, merangkumi perancangan, pelaksanaan program dan aktiviti berkaitan.

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia, katanya, seramai 4,026 wanita terbabit dalam kes keganasan rumah tangga pada 2017, diikuti 3,947 orang (2018), 3,435 orang (2019) dan 930 orang (1 Januari hingga 30 April lalu).

Mangsa keganasan rumah tangga dilindungi di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1984 yang terpakai kepada wanita, ahli keluarga lain dalam kalangan lelaki, kanak-kanak, orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas.

-Advertisement-

“Akta ini memperuntukkan tindakan perlindungan terhadap mangsa melalui Perintah Perlindungan Kecemasan dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi kes membabitkan keganasan berbentuk fizikal.

“Mangsa juga boleh mendapatkan perlindungan melalui Perintah Perlindungan Sementara dan Perintah Perlindungan dikeluarkan mahkamah,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof (PH-Parit Buntar) yang ingin mengetahui kaedah mengatasi isu keganasan rumah tangga pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Siti Zailah berkata, kementerian dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut memberi tumpuan kepada tindakan advokasi dan pesanan khidmat masyarakat.

“Bagi memastikan keselamatan mangsa, kementerian melalui JKM menyediakan Tempat Selamat kepada mangsa, selain bekerjasama dengan NGO untuk menempatkan mereka di rumah perlindungan.

“Antara perkhidmatan lain turut diberikan kepada mangsa adalah khidmat kaunseling yang boleh diakses secara bersemuka atau dalam talian dengan menghubungi Talian Kasih 15999,” katanya. -BERITA HARIAN

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share