BSN perluas geran padanan digital kepada e-dagang, kerja jarak jauh

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 28 Ogos — Bank Simpanan Nasional memperluaskan skim geran padanan digital dengan menambah dua bidang pendigitalan baharu, iaitu e-dagang dan kerja jarak jauh, menjadikan jumlah keseluruhan perkhidmatan digital kepada tujuh bidang.

-Advertisement-

Ketua Eksekutif Datuk Yunos Abd Ghani berkata perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berminat untuk mendapatkan geran padanan hanya perlu melantik Penyedia Penyelesaian Teknologi (TSP).

“Borang permohonan dan dokumen sokongan boleh dihantar melalui e-mel ke mana-mana cawangan BSN di negeri di mana PKS beroperasi,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata PKS perlu melengkapkan dan menyerahkan borang permohonan mereka bersama dengan dokumen sokongan kepada bank untuk diproses, membuat pembayaran mereka kepada TSP terpilih dan menyerahkan resit pembayaran kepada BSN atau SME Bank, selepas itu BSN akan membayar baki kepada TSP.

PKS sebelum ini boleh mendapatkan perkhidmatan digital melibatkan sistem jualan elektronik, sistem pekerjaan sumber manusia atau pengurusan hubungan pelanggan, pemasaran digital, perolehan dan perancangan sumber perusahaan (ERP) serta perakaunan dan cukai.

Yunos berkata ERP serta perakaunan dan cukai menerima jumlah permohonan tertinggi, diikuti E-POS dan pemasaran digital.

“Bagi memastikan proses ini berjalan dengan lebih lancar, tidak lama lagi kami akan menyemak semula proses penyerahan di mana BSN akan membenarkan penyerahan permohonan oleh TSP,” katanya.

-Advertisement-

Sejak pelancaran geran itu pada 17 Feb, katanya, lebih 1,000 permohonan daripada PKS telah diluluskan.

Sebanyak 400 permohonan menunggu kelulusan terutamanya berikutan dokumen tidak lengkap, katanya sambil menambah BSN biasanya mengambil masa seminggu untuk diluluskan.

Beliau menggalakkan PKS untuk mengambil peluang daripada geran itu untuk membantu mereka memudahkan aliran tunai mereka dan meneruskan perniagaan mereka dengan menghadapi cabaran semasa berikutan COVID-19.

“Bagi mereka yang masih beroperasi dengan cara biasa, peluang ini perlu direbut untuk memastikan perniagaan yang dijalankan dapat dikekalkan,” katanya.

BSN merupakan peneraju utama inisiatif ini dengan kerjasama SME Bank Group dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

Skim itu menyediakan 50 peratus geran padanan dengan jumlah sehingga RM5,000 setiap syarikat untuk melanggan perkhidmatan pendigitalan.

Geran padanan ini berjumlah RM500 juta untuk tempoh lima tahun dan terhad kepada 100,000 PKS pertama yang memohon untuk menaik taraf sistem mereka.

-BERNAMA

Share this Article
  • 3
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    3
    Shares