Malaysia akan buat pelaburan besar dalam teknologi telekomunikasi generasi terkini

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 1 Sept  — Malaysia akan membuat pelaburan besar dalam teknologi telekomunikasi generasi terkini dan yang lain-lain seiring dengan usaha untuk merealisasikan status negara berpendapatan tinggi, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata setakat ini Malaysia menjalankan 71 demonstrasi kes kegunaan 5G yang diterajui oleh syarikat swasta iaitu Celcom, Digi, edotco, Maxis, Petronas, Telekom Malaysia, U Mobile dan YTL, serta rakan kongsi ekosistem mereka yang merangkumi penyedia penyelesaian digital, kementerian, agensi, penyepadu dan vendor.

“Kes kegunaan ini dilaksanakan di tujuh negeri (Kedah, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Terengganu dan Wilayah Persekutuan) dengan keseluruhan pelaburan industri bernilai RM131 juta.

-Advertisement-

“Projek ini menumpukan langkah memudahkan dan membangunkan ekosistem 5G yang holistik dan inklusif, merangsangkan permintaan serta penerimagunaan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Invest Malaysia 2020 – Siri Maya 3 di sini, hari ini.

Beliau berkata memandangkan pelbagai industri menerima guna 5G, ia boleh mendorong kadar sumbangan industri lain kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) secara efektif.

Justeru membolehkan negara menghasilkan lebih banyak produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi sekali gus memberi manfaat kepada rakyat menerusi peningkatan pendapatan dan kemampuan, katanya.

-Advertisement-

Saifuddin berkata kerajaan telah melanjutkan tempoh projek demonstrasi 5G (5GDP) sehingga 31 Dis, 2020.

“Kepada pencipta baru, penyedia perkhidmatan dan pihak berkepentingan berkaitan, ini merupakan tempoh yang mengujakan bagi Malaysia. Saya menggesa anda untuk ke hadapan dan menyertai 5GDP ini,” katanya.

Beliau berkata Malaysia sedang mempercepatkan penambahbaikan kesambungan gentian optik dan 4G bagi memastikan pelaksanaan 5G akan dapat dijalankan secara efisien dan berkesan.

Oleh itu, pelaksanaan 5G akan memberi manfaat kepada pengguna tanpa peningkatan kos perkhidmatan yang ketara, industri akan dapat melancarkan penyelesaian mereka masing-masing menggunakan 5G, selain membolehkan penggunaan pantas rangkaian yang dilaburkan bagi penyedia perkhidmatan, katanya.

“Ekosistem yang baik akan memberi sumbangan besar kepada agenda Digital Malaysia seterusnya kepada KDNK negara,” katanya. -BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share