Harga minyak sawit mentah akan meningkat

Estimate Reading Time: < 1 minute

BANGI – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yakin harga minyak sawit mentah (MSM) akan terus meningkat daripada RM2,800 satu tan pada masa kini walaupun dalam persekitaran menghadapi pandemik koronavirus (Covid-19).

-Advertisement-

Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, ia susulan permintaan berterusan yang diterima daripada negara-negara pengimport termasuk India.

“Kerajaan berperanan penting untuk memastikan hubungan diplomatik yang baik dan kelangsungan eksport negara.

“Berikutan India kembali mengimport semula MSM dari Malaysia, kita yakin produk minyak sawit tempatan akan terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat antarabangsa,” katanya kepada pemberita pada program penggalakan penggunaan Vitamin E Tokotrienol bersama warga kerja MPOB di sini semalam.

Laporan berita menunjukkan India mengimport kira-kira 4.4 juta tan minyak sawit Malaysia daripada lebih sembilan juta tan jumlah keseluruhan import komoditi itu pada tahun 2019.

-Advertisement-

Majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan produk vitamin E Tokotrienol sebagai makanan tambahan untuk kalangan kakitangan dan warga pesara MPOB dengan harga diskaun bagi manfaat khasiat pemakanan serta kesihatan.

Sementara itu, Ahmad Jazlan berkata, vitamin E dalam minyak sawit mengandungi hampir 70 tokotrienol dan 30 peratus tokoferol yang ideal dari segi struktur kimia untuk kesihatan manusia.

Produk vitamin E yang dibangunkan hasil teknologi MPOB telah dikeluarkan secara komersial oleh Sime Darby Plantation Sdn Bhd menerusi jenama Natrio TRI E Tocotrienols, manakala Sarawak Oil Plan Bhd menggunakan jenama T3 Super Vitamin Concentrates.

Ia juga boleh didapati menerusi produk Davos Life E3 Complete keluaran KLK Oleo dan Tocovid SupraBio keluaran oleh Hovid.

Dalam pada itu, beliau berkata, usaha untuk meluaskan pasaran produk tokotrienol terpaksa diperlahankan berikutan penularan pandemik Covid-19.

“Kita telah menyusun aktiviti-aktiviti promosi ke luar negara, namun terpaksa dihentikan. Kita berharap dapat meneruskan kembali usaha jelajah promosi terutama ke Eropah, China dan Amerika Syarikat apabila sempadan dibuka semula,” kata beliau. – Bernama

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share