Muhyiddin dilihat selamat meski Umno bergolak, kata penganalisis

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik melihat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berada dalam kedudukan yang lebih kuat sekarang berbanding ketika beliau memegang jawatan itu pada Mac lalu walaupun terdapat ketidakpuasan hati dalam Umno terhadap partinya, PPBM.

-Advertisement-

Syed Arabi Idid dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia percaya Muhyiddin mendapat banyak sokongan masyarakat melalui cara beliau mengendalikan pandemik Covid-19.

“Beliau seperti komander dalam perang,” katanya kepada FMT.

Syed Arabi berkata Muhyiddin juga berjaya menarik parti-parti kecil ke dalam kerajaan dan memperkuat PPBM dengan kem bekas Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

PPBM dan para pemimpinnya mendapat tentangan dari beberapa pemimpin Barisan Nasional, terutama dari Umno, atas beberapa isu, termasuk berkaitan kontrak rundingan terus dan usaha PPBM untuk menubuhkan sayap bukan Melayu.

Ini menimbulkan persoalan mengenai kestabilan pentadbiran Muhyiddin.

PPBM dan sekutunya mempunyai majoriti tipis di Dewan Rakyat.

Syed Aidid mengakui kewujudan pengkritik Muhyiddin dalam Umno, tetapi, katanya, mereka yang berada dalam jemaah menteri, yang merupakan pemimpin kanan Umno, terus menyokongnya.

Jelasnya, kebanyakan ahli politik kini masih menumpukan pada Covid-19.

-Advertisement-

“Sebaik sahaja pandemik mula reda sedikit, anda akan lihat gerakan politik atau isu-isu lain yang boleh mengancam Muhyiddin,” tambahnya.

Sementara itu, Mohd Izani Mohd Zain dari Universiti Putra Malaysia berkata, kedudukan Muhyiddin selamat selagi pentadbiran Perikatan Nasional masih utuh.

Katanya, beliau tidak melihat risiko Umno dan PAS “memakan” PPBM.

Izani juga tidak percaya parti baru bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, Pejuang, ancaman kepada Muhyiddin atau PPBM.

“Mahathir tidak lagi relevan dengan politik Muhyiddin dan Malaysia. Ancaman terbesar terhadap Muhyiddin adalah dari dalam partinya sendiri, terutamanya bagaimana PPBM menangani Azmin dan penyokongnya,” katanya.

Jelasnya lagi, ini kerana Azmin akan membawa penyokong bukan Melayu dan parti itu perlu mengimbangkan suara-suara dalam hal kepentingan Melayu dan bukan Melayu.

Seorang lagi penganalisis, Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah, juga melihat kedudukan Muhyiddin kukuh.

Sekiranya tidak demikian, katanya, pihak lawan akan berusaha menjatuhkan beliau sekarang.

“Ancaman terbesar baginya sekarang adalah ekonomi kerana ia dalam keadaan sangat teruk walaupun ini bukan di Malaysia sahaja,” kata Lee.

-FMT

Share this Article
  • 2
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    2
    Shares