Penganalisis jangka peruntukan Belanjawan 2021 lebih banyak, bantuan bersasar diperluas

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Seorang penganalisis menjangkakan peruntukan untuk Belanjawan 2021 lebih banyak daripada RM297 bilion bagi Belanjawan 2020 dengan bantuan bersasar yang diumumkan sebelum ini akan diperluaskan dalam pembentangan bajet November ini kerana rakyat masih menghadapi impak krisis Covid-19.

-Advertisement-

Penganalisis ekonomi dari Putra Business School, Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kerajaan juga dijangka menumpukan usaha meningkatkan taraf hidup rakyat dan inisiatif berterusan untuk meningkatkan kemahiran serta daya saing rakyat menerusi Belanjawan 2021.

“Ada kemungkinan bantuan bersasar kepada rakyat seperti Bantuan Sara Hidup, ePenjana dan sebagainya akan diperluaskan lagi kerana rakyat belum benar-benar pulih (daripada krisis Covid-19).

“Lebih banyak bantuan subsidi, latihan percuma dan pengecualian tertentu akan diberi kepada individu, isi rumah dan golongan tertentu seperti B40, miskin bandar dan petani,” katanya kepada FMT.

Beliau turut menjangkakan peruntukan Belanjawan 2021 lebih besar daripada Belanjawan 2020 kerana Parlimen sudah meluluskan kenaikan had statutori hutang kerajaan berbanding keluaran dalam negara kasar kepada 60%.

“Keputusan itu membolehkan kerajaan mengambil hutang dengan lebih banyak lagi supaya peruntukan untuk Belanjawan 2021 dapat dinaikkan.

“Malah, ada kemungkinan defisit fiskal menjadi lebih 4% tahun depan.”

Ahad lalu, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin menerusi perutusan khas Hari Kebangsaan ke-63 membayangkan prinsip “Prihatin Rakyat” akan diterjemahkan dalam Belanjawan 2021.

-Advertisement-

Selain menumpukan agenda golongan bersasar, katanya, perusahaan kecil dan sederhana dijangka terus menjadi teras utama dalam Belanjawan 2021 dengan dana pinjaman dijangka dinaikkan untuk membantu PKS.

Baru-baru ini, Parlimen meluluskan had statutori hutang sehingga 60% daripada KDNK berbanding 55% ketika ini.

Keseluruhan hutang negara dalam lingkungan RM854 bilion, manakala tanggungan liabiliti kerajaan sebanyak RM1.2 trilion.

Razman mencadangkan kerajaan meningkatkan peruntukan untuk program subsidi upah yang diperkenalkan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bagi memastikan kadar pengangguran terkawal dan jumlah perniagaan atau individu yang jatuh muflis dapat dikurangkan.

Beliau turut menjangkakan Putrajaya akan memfokuskan usaha meningkatkan hubungan perdagangan dengan negara dagang utama dan menarik pelaburan kembali ke Malaysia menerusi Belanjawan 2021.

Bagaimanapun, katanya, cabaran utama bagi merealisasikan Belanjawan 2021 ialah kebimbangan terhadap gelombang ke-3 Covid-19 dan ketidakstabilan politik yang akan menyebabkan kerajaan tidak mendapat sokongan penuh untuk melaksanakan dasarnya.

“Jika berlaku gelombang ke-3, sekatan perniagaan dan perdagangan antara negara terpaksa diperketatkan semula, sekaligus merencatkan proses membina semula ekonomi sejagat.”

Oleh itu, katanya, amat penting untuk rakyat bersatu membantu kerajaan melaksanakan teras dan agenda Belanjawan 2021.

-FMT

Share this Article
  • 3
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    3
    Shares