4 loji rawatan air di Selangor belum beroperasi akibat pencemaran

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd berkata, 4 loji rawatan air (LRA) di negeri itu yang membekalkan air ke 7 daerah di Lembah Klang belum beroperasi setakat 6.30 pagi tadi.

-Advertisement-

Katanya, pencemaran masih dikesan di muka sauk LRA itu pada kadar pencemaran 1 TON (Nombor Bau Nilai Ambang).

“LRA hanya boleh beroperasi apabila tahap pencemaran berada pada tahap 0 TON,” kata Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Elina Baseri dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bantuan bekalan air akan terus diagihkan melalui lori tangki air dan pengguna disaran mendapatkan bekalan air melalui pili awam dan pusat khidmat setempat yang sedang beroperasi 24 jam sehingga bekalan pulih sepenuhnya.

-Advertisement-

Katanya, Air Selangor akan mengemas kini maklumat gangguan bekalan air menerusi Twitter, Facebook, Instagram dan laman www.airselangor.com.

Operasi di 4 LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihentikan pagi semalam susulan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.

Ia menyebabkan 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air sejak pagi semalam.

-FMT

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share