KPDNHEP tambah baik Kempen Beli Barangan Malaysia

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil pendekatan polisi buka pintu bagi menambah baik Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM).

-Advertisement-

Ia sebagai usaha untuk memastikan kempen itu terus memberi manfaat khususnya kepada pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, kementerian komited untuk membantu pengusaha PKS dan sentiasa mencari peluang bagi membuat penambahbaikan.

Menurutnya, pihaknya turut membantu memperkasakan usahawan PKS agar produk mereka mampu menembusi pasaran hypermarket, pasar raya, kedai serbaneka dan rangkaian kedai di stesen minyak seluruh Malaysia.

“Sebab itu, langkah yang kami ambil pada peringkat kementerian adalah bersikap lebih terbuka kepada semua pihak.

“Selagi saya menerajui kementerian ini, kita akan buat open door policy dan layan (bekerjasama) dengan mana-mana pihak terutama pemain industri,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Kempen Beli Barangan @ Petronas di Stesen Petronas Jalan Kolam Ayer, Ampang di sini semalam.

-Advertisement-

Turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid; Ketua Pegawai Eksekutif yang juga Pengarah Urusan Petronas Dagangan Berhad (PDB), Azrul Osman Rani dan Naib Presiden (Pemasaran) Petronas, Ahmad Adly Alias.

Dalam pada itu, Alexander turut memberi contoh hasil kolaboratif pihaknya dengan Lulu Hypermarket yang sudah bertapak di Malaysia dan mempunyai banyak rangkaian di luar negara.

Menurutnya, ia memberi impak positif apabila lebih 300 jenis produk PKS berjaya dipasarkan ke luar negara melalui cawangan hypermarket tersebut.

Sementara itu, beliau menyifatkan kolaboratif pihaknya dengan Petronas menerusi Kempen Beli Barangan Malaysia @ Petronas sebagai kerjasama yang baik bagi terus membantu PKS memperluaskan pasaran.

“Dalam kempen pertama pada tahun lalu, mereka memberikan laluan dan tempat kepada usahawan PKS tempatan di 185 premis kedai mesra Petronas di seluruh Malaysia.

“Pada tahun ini, promosi kempen akan ditingkatkan di 801 stesen minyak serta Kedai Mesra Petronas melibatkan 698 stesen Petronas di Semenanjung Malaysia dan 103 stesen Petronas di Sabah serta Sarawak,” kata beliau.

-Sinar Harian

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share