PPBM Kelantan akur jika PAS dominasi agihan kerusi

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: PPBM Kelantan akur jika PAS diperuntukkan lebih banyak kerusi di negeri itu dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.

-Advertisement-

Pengerusinya, Kamaruddin Md Nor bagaimanapun berkata, proses rundingan di semua negeri masih berjalan dan ia belum muktamad.

“Perundingan dibuat di peringkat pusat. Ia masih berjalan. Negeri beri maklumat sahaja, belum ada persetujuan yang muktamad lagi.

“Kita di peringkat negeri akur dengan apa-apa keputusan yang dipersetujui bersama di sana (pusat),” katanya.

Kamaruddin turut mengakui berdasarkan kekuatan dan sokongan PAS di Kelantan, tidak keterlaluan jika parti Islam itu diperuntukkan lebih banyak kerusi.

Katanya, PPBM wajar diperuntukkan beberapa kerusi di Kelantan walaupun PAS mendominasi dan timbal balik sama juga wajar diberi di negeri pantai barat dengan syarat ia dipersetujui bersama.

“Wajar PAS di Kelantan mempunyai lebihan kerusi. Wajar juga PPBM diperuntukkan beberapa kerusi DUN dan Parlimen untuk ditandingi. Juga wajar ada timbal balik untuk PAS di negeri pantai barat Semenanjung,” katanya.

-Advertisement-

Beliau mengulas kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang bahawa proses agihan kerusi bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) antara parti dalam Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) telah banyak diselesaikan, namun jumlahnya masih belum dimuktamadkan.

Hadi juga dilaporkan berkata bahawa parti itu bakal mendominasi sejumlah besar kerusi di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

PAS menjalin hubungan rasmi dengan Umno melalui MN pada September tahun lalu dan terbaru dengan PPBM. Ia menerima pembetukan PN selepas berlakunya perubahan pemerintahan di Putrajaya pada Mac tahun ini.

Pada PRU lepas PAS menenangi 9 kerusi Parimen di Kelantan dengan Umno menguasai 5 kerusi.

Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), PAS menang di 37 kerusi dan Umno 8.

Bagaimanapun berikutan langkah beberapa wakil Umno keluar parti untuk menyertai PPBM selepas pilihan raya, parti itu kini mempunyai 2 ahli Parlimen, iatu Mustapa Mohamed (Jeli) dan Ikmal Hisham Abd Aziz (Tanah Merah) serta satu kerusi DUN, iaitu Ayer Lanas.

-FMT

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share