RM5 bilion untuk bantuan kebajikan

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA: Kenaikan Had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) negara daripada RM980 kepada RM2,208 akan meningkatkan bilangan penerima bantuan kebajikan kepada 1.5 juta orang, membabitkan peruntukan RM5 bilion setahun.

-Advertisement-

Berdasarkan perangkaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), agensi itu kini mengendali kira-kira 500,000 penerima bantuan, antaranya warga emas, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU) dengan perbelanjaan kira-kira RM1.6 bilion setahun.

Had baru PGK dijangka dibentangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Rancangan Malaysia adalah perancangan pembangunan negara bagi tempoh lima tahun dengan RMK-12 yang dijangka dibentangkan pada awal tahun depan adalah bagi tempoh 2021 hingga 2025.

Mengulas jangkaan pertambahan jumlah penerima bantuan kebajikan itu, Ketua Pengarah JKM, Zulkifli Ismail memberitahu BH, kenaikan Had PGK akan menyaksikan ada golongan sasar baharu yang memerlukan bantuan di negara ini.

“Kita sedia maklum, kerajaan menyelaraskan PGK baharu dalam RMKe-12 yang akan dibentangkan nanti, iaitu dari RM980 bagi Semenanjung kepada RM2,208 bersamaan kenaikan kira-kira dua kali ganda.

“Ia akan menyaksikan ada golongan sasar baharu yang memerlukan bantuan di negara ini, termasuk kumpulan pekerja perkhidmatan sokongan bergaji rendah yang turut berada dalam golongan di bawah garis kemiskinan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini.

Beliau tidak menafikan akan ada banyak implikasi kepada kerajaan dengan perkembangan itu, bukan sahaja membabitkan pertambahan jumlah penerima bantuan dikendalikan JKM, tetapi juga pelbagai agensi kerajaan lain.

“Di bawah Had PGK sebelum ini, kita ada 500,000 penerima bantuan, maka dengan kenaikan had berkenaan, kita tidak menolak bilangan kes di bawah garis kemiskinan akan bertambah, mungkin nanti mereka juga akan menerima bantuan JKM.

“Kebarangkalian kes juga akan meningkat sebanyak dua kali ganda apabila kerajaan menggunapakai PGK baharu nanti, maknanya bilangan penerima bantuan akan meningkat, ” katanya.

-Advertisement-

Katanya, ada kira-kira 11 jenis bantuan disalurkan JKM, antaranya Bantuan Kanak-Kanak (BKK), Elaun Pekerja Cacat (EPC), Bantuan Orang Tua (BOT), Bantuan Penjagaan OKU Terlantar atau Pesakit Kronik Terlantar (BPT), semuanya antara RM250 hingga RM400 sebulan.

Pada 10 Julai lalu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin ketika membentangkan Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas serta Laporan Survei Perbelanjaan Isi Rumah Malaysia, mengumumkan kerajaan menyemak semula Had PGK kepada RM2,208 berbanding RM980 yang diguna pakai sejak 2005.

Beliau menjelaskan, pengenalan had baharu itu menjadikan jumlah isi rumah yang tergolong dalam kategori miskin bertambah kepada 405,441, berbanding hanya 16,653 jika menggunakan had sebelum ini.

Sebagai perbandingan, kata Mohd Uzir, berdasarkan PGK baharu, kadar kemiskinan 2019 adalah 5.6 peratus (405,441 isi rumah) bagi 2019, manakala kadar kemiskinan pada 2016 yang diukur berdasarkan metodologi PGK 2005 adalah 0.4 peratus (24,700 isi rumah).

Bagaimanapun, katanya, jika metodologi PGK 2019 diguna untuk mengukur kadar kemiskinan pada 2016, peratusannya adalah 7.6 peratus (525,743 isi rumah).

Beliau menambah, perbezaan utama pengukuran PGK menggunakan metodologi 2005 dan 2019 adalah keperluan optimum dan pemakanan sihat serta keperluan asas berkualiti.

Sebagai contoh, Mohd Uzir dipetik berkata, jumlah kalori diperlukan satu isi rumah mengikut PGK 2005 ialah 6,475 kcal, tetapi mengikut PGK 2019, nilai bertambah kepada 7,820 kcal, seperti juga nilai PGK Makanan yang turut meningkat daripada RM620 (PGK 2005) kepada RM1,169 (PGK 2019).

Bagi item bukan makanan, katanya, ia ditentukan dengan mengambil kira keperluan minimum berkualiti yang diperlukan isi rumah, merangkumi pakaian dan kasut; perumahan serta air, elektrik, gas dan bahan api lain.

Selain itu, perkakasan rumah; kesihatan dan pengangkutan/komunikasi; rekreasi dan kebudayaan; pendidikan dan pelbagai barangan serta perkhidmatan lain.

-Berita Harian

Share this Article
  • 2
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    2
    Shares