Penyelesaian isu ‘sekolah tumpang’ di Sabah jadi keutamaan, kata menteri pendidikan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUDAT: Penyelesaian bagi isu ‘sekolah menumpang’ di Sabah yang berlanjutan sejak sekian lama menjadi tumpuan dan keutamaan kementerian, kata Menteri Pendidikan Radzi Jidin.

-Advertisement-

Beliau berkata secara keseluruhannya terdapat 23 buah sekolah di Sabah yang kini menumpang di sekolah lain.

Menurutnya sekolah tumpang itu terdiri daripada beberapa kategori termasuk sekolah menengah kebangsaan (SMK) yang menumpang di sekolah kebangsaan (SK).

Katanya, isu itu berpunca daripada pelbagai faktor termasuk kegagalan pihak kontraktor menyiapkan projek bangunan sekolah dalam masa yang ditetapkan.

“Kita sedang melihat supaya peruntukan dapat diselaraskan ke sekolah ini (sekolah tumpang) berdasarkan keutamaan yang mengambil kira antaranya kapasiti sekolah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program di Kompleks Sukan Kudat, semalam.

-Advertisement-

Mengambil contoh SMK Langkon di Kota Marudu, Radzi berkata sekolah itu kini menumpang di SK Langkon.

Katanya projek pembinaan SMK Langkon telah bermula beberapa tahun yang lalu namun akibat beberapa isu pembinaannya tertangguh.

Dalam lawatannya ke SK Langkon baru-baru ini, Radzi turut mendapati keadaan fasiliti dan bangunan di SK Langkon berada dalam keadaan daif.

“(Pembinaan) SMK Langkon akan kita percepatkan dan kita harap pembinaan dapat dilaksanakan dalam masa terdekat. Kita juga telah buka tender untuk projek ini,” katanya.

-FMT

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share