Individu pertama didakwa bawah akta perlindungan pemberi maklumat

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR – Seorang timbalan pengarah sebuah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan seorang kakitangan dipecat setelah memberikan maklumat mengenai salah lakunya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

-Advertisement-

Wafiy Abd Aziz, 35, mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Pertuduhan terhadap Wafiy adalah yang pertama mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711), sejak berkuat kuasa pada 2010.

Mengikut pertuduhan, Wafiy, didakwa telah mengambil tindakan yang memudaratkan terhadap seorang pemberi maklumat dengan cara mengapi-apikan Pengerusi Education Malaysia Global Services Datuk Abdul Rahman Mohamed Shariff supaya menandatangani dokumen penamatan pekerjaan ke atas lelaki terbabit sebagai suatu tindakan balas terhadap pendedahannya berkenaan kelakuan tidak wajar tertuduh kepada SPRM.

Wafiy didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Education Malaysia Global Services di Jalan Mayang Sari di sini, 9 Jan lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 10(3)(b) Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 10(6) akta sama, yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum 15 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohd Afif Ali berkata, kesalahan di bawah Seksyen 10(3)(b) Akta Perlindungan Pemberi Maklumat merupakan suatu kesalahan tidak boleh dijamin yang secara amnya seorang tertuduh tiada hak untuk dibebaskan dengan jaminan kerana jaminan bukan hak automatik tertuduh untuk kesalahan ini.

“Meskipun ia satu kesalahan tidak boleh dijamin, pihak pendakwaan tidak membantah sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara untuk membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan sementara perbicaraan selesai.

-Advertisement-

“Mahkamah boleh mengenakan syarat-syarat tambahan seperti tertuduh menyerahkan dokumen perjalanannya kepada mahkamah dan juga melapor diri di Pejabat SPRM terdekat dalam tempoh waktu ditetapkan,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Afif berkata, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia selain memohon syarat-syarat tambahan lain iaitu tertuduh perlu melapor diri di Pejabat SPRM terdekat sebulan sekali.

“Walaupun pada tahap ini tidak dapat ditunjukkan bahawa ada saksi pendakwaan yang telah diganggu, namun sebagai seorang individu yang mempunyai kedudukan dan berpengaruh di dalam syarikat iaitu sebagai Timbalan Pengarah di Syarikat Education Malaysia Global Services, tertuduh mempunyai peluang untuk mengganggu dan mempengaruhi saksi-saksi yang dibariskan oleh pihak pendakwaan.

“Oleh sebab itu, satu jumlah jaminan yang tinggi dengan syarat-syarat yang ketat seperti yang dicadangkan adalah penting untuk memberi peringatan kepada tertuduh untuk tidak cenderung melakukannya,” katanya.

Peguam Siti Sarah Khalil yang mewakili tertuduh berkata, tiada afidavit yang dilampirkan oleh pihak pendakwaan bagi menyokong bahawa anak guamnya boleh mengganggu saksi-saksi pendakwaan, sebaliknya hujahan pendakwaan itu hanya spekulasi.

“Saya memohon jumlah jaminan RM12,000 yang dikenakan ke atas anak guam saya atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk kepentingan dirinya di mahkamah sama sebelum ini diguna pakai. Sekiranya mahkamah ingin mengenakan jaminan lain, mohon ia tidak melebihi RM12,000,” katanya.

Hakim Azman membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM terdekat dua minggu sekali dan tidak boleh mengganggu saksi-saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 20 OktOBER untuk sebutan semula kes.

– Bernama

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share