Johor akan bincang dengan pusat keperluan benarkan pelajar rentas sempadan

Estimate Reading Time: < 1 minute

JOHOR BAHRU, 18 Sept — Johor akan berbincang dengan kerajaan pusat bagi mempertimbangkan kebenaran merentas sempadan melibatkan pelajar kolej swasta antarabangsa di Iskandar Puteri yang menetap di Singapura.

-Advertisement-

Menteri Besarnya Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, perkara itu susulan terdapat permintaan daripada Marlborough College Malaysia untuk kerajaan negeri membantu pelajar mereka menyambung semula sesi pembelajaran di sini.

Katanya, beliau akan mengutarakan keperluan tersebut dalam pertemuannya bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya menerima sepucuk surat daripada kolej itu yang meminta kita mencari jalan supaya 800 sehingga 900 pelajar mereka dapat berulang-alik setiap hari untuk kembali semula hadiri pelajaran (di sini).

“Pihak kolej juga turut membayangkan kepayahan yang mereka hadapi dan kemungkinan kolej tersebut terpaksa ditutup kerana tidak dapat menjalankan urusan seperti biasa,” katanya ketika berucap pada Majlis Agung Tahunan Kelab Media Johor (KMJ) yang dihadiri 80 pengamal media di sebuah hotel, malam tadi.

-Advertisement-

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri Mazlan Bujang serta Presiden KMJ Mohamad Fauzi Ishak.

Katanya, jika institusi pendidikan itu ditutup, ia merupakan suatu kerugian yang besar.

“Oleh sebab itu, kita akan kemuka cadangan kepada kerajaan Persekutuan supaya 800 hingga 900 pelajar ini dapat berulang-alik dan diberi keutamaan untuk dipertimbangkan kebenaran perjalanan harian seperti mana yang kita harapkan,” katanya.

Berhubung isu lain, Hasni menzahirkan penghargaannya kepada petugas media di negeri ini yang sentiasa menyalurkan maklumat penting kepada masyarakat terutama ketika pandemik COVID-19.

Dalam masa sama, beliau melihat pengamal media memainkan peranan dalam mencorakkan pemikiran rakyat menerusi berita-berita dan maklumat tepat dan sahih yang disampaikan.

-BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share