KPPK bekerjasama dengan pihak berkepentingan dalam pembangunan buluh secara komersial

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 21 Sept — Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan terutamanya industri dalam pembangunan buluh secara komersial.

-Advertisement-

Menteri berkenaan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata konsep perkongsian bijak akan diberi perhatian, justeru, bersedia untuk memberi khidmat nasihat kepada pihak yang berminat dalam industri berkenaan.

Usaha ini selaras dengan pembangunan industri buluh sebagai program pencetus perubahan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) termasuk Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh 2021-2025 yang sedang dibangunkan dengan mengambil kira pandangan semua pihak.

“Pelbagai inisiatif akan dilaksanakan bagi merancakkan pembangunan industri ini di Malaysia termasuk menyenaraikan spesies buluh di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan dengan tawaran pinjaman mudah kepada pihak industri yang berminat serta membangunkan piawaian antarabangsa berkaitan buluh dan produk buluh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, katanya kementerian juga akan menjalankan kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan institusi penyelidikan serta beberapa institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam pembangunan produk berasaskan buluh seperti venir, papan laminasi dan arang.

-Advertisement-

Turut dilaksanakan adalah promosi seperti penganjuran Hari Buluh Sedunia, seminar dan latihan yang melibatkan peserta tempatan dan luar negara.

Menurut Mohd Khairuddin, Malaysia akan menyambut Hari Buluh Sedunia 2020 pada 4 Oktober ini yang dijadual dirasmikan beliau di Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC), Kuala Berang, Terengganu.

Katanya, sempena sambutan itu, satu memorandum perjanjian di antara MTIB dan TTITC akan dimeterai untuk Pembangunan Model Ladang Buluh di Terengganu yang akan dijadikan sebagai pusat rujukan model ladang buluh di Malaysia.

Antara program yang dirancang bersempena sambutan berkenaan adalah kursus pembuatan gazebo buluh, sesi bual bicara mengenai buluh, pameran dan demonstrasi produk berasaskan buluh serta seminar mengenai potensi buluh.

Malaysia mempunyai kira-kira 59 spesies dan 10 genera buluh dengan 45 daripadanya merupakan spesies tempatan yang tumbuh secara semulajadi di kawasan hutan.

-BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share