Pekebun durian berdepan hukuman mati

Estimate Reading Time: < 1 minute

MELAKA – Seorang pekebun durian berdepan hukuman gantung sampai mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita awal bulan ini.

-Advertisement-

Tertuduh, Lo Kui Khiong, 54, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Teoh Shu Yee.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan terhadap tertuduh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap seorang wanita warga Indonesia di sebuah rumah tidak bernombor di kebun durian, Mukim Tanjung Minyak, Taman Bertam Impian antara jam 12 tengah malam sehingga 9 pagi, 7 September lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan mandatori hukuman gantung sampai mati.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal.

-Advertisement-

Tiada sebarang jaminan ditawarkan dan mahkamah menetapkan 24 November depan bagi serahan dokumen dan sebutan semula kes.

ARTIKEL BERKAITAN: Mayat wanita dibungkus plastik dalam rumah kosong

Sinar Harian pada 10 September lalu menyiarkan mayat seorang wanita warga Indonesia yang dibunuh dengan kejam termasuk leher dikelar ditemui di sebuah rumah kosong dalam kebun durian berhampiran Taman Bertam Impian.

Mayat mangsa yang berbungkus dengan plastik dipercayai telah dibunuh di antara jam 12.30 tengah malam hingga 7 pagi sebelum diletakkan di bilik belakang rumah yang tidak bernombor itu.

Hasil pemeriksaan forensik mendapati mayat wanita berkenaan dalam keadaan tidak sempurna kerana bahagian lutut kaki dipotong, selain ada kesan kelar di leher.

Menurut sumber, insiden yang berlaku dipercayai tertuduh yang mengenali mangsa gagal mengawal emosi akibat cemburu dan marah dengan sikap mangsa yang juga teman wanita yang sering meminta wang daripadanya.

-SINAR HARIAN

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share