Pencemaran Sungai Gong: lima lelaki dibenar ikat jamin RM400,000 seorang

Estimate Reading Time: < 1 minute

SHAH ALAM, 22 Sept — Empat ahli lembaga pengarah dan seorang pengurus sebuah syarikat membaiki jentera berat yang didakwa berhubung kes pembuangan bahan berbahaya ke dalam Sungai Gong, Rawang, masing-masing dibenarkan diikat jamin RM400,000 dengan seorang penjamin oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

-Advertisement-

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Norsharidah Awang membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan empat ahli lembaga pengarah yang juga adik-beradik – Yip Kok Wai, 53; Yip Kok Mun, 58; Yip Kok Kuin, 50 dan Yip Kok Wong, 60; serta pengurus bengkel berkenaan, Ho Voon Leong, 59, terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang tidak membenarkan mereka diikat jamin.

Beliau turut memerintahkan kelima-lima lelaki itu menyerahkan pasport masing-masing kepada mahkamah dan memberi amaran sekiranya mereka melakukan kesalahan ketika dalam tempoh jaminan, mahkamah akan menarik perintah jaminan itu.

-Advertisement-

Dalam penghakimannya, Norsharidah berkata beliau mengambil kira faktor seperti keseriusan kesalahan dihadapi kesemua tertuduh selain faktor kesihatan mereka serta bahaya yang menanti sekiranya kesalahan diulangi.

“Ini adalah kes serius yang mendapat perhatian ramai, oleh itu mahkamah membenarkan semua yang tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM400,000 tiap seorang dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan kesemua tertuduh perlu serahkan pasport kepada mahkamah, dan jika kesalahan dilakukan ketika dalam tempoh jaminan, mahkamah akan tarik balik jaminan,” katanya.

–BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share