Pendakwaan akan rayu pembebasan wanita dituduh bunuh amah

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA: Pihak pendakwaan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan pembebasan seorang wanita didakwa membunuh pembantu rumah Indonesianya 2 tahun lalu.

-Advertisement-

“Kami akan memfailkan notis rayuan hari ini,” kata Peguam Negara, Idrus Harun kepada FMT menerusi pesanan teks.

Perayu mempunyai 14 hari untuk memfailkan notis rayuan.

Respons Idrus itu menyusul satu petisyen yang dilancarkan Tenaganita supaya pertuduhan baru dikenakan dalam kes pembantu rumah Indonesia, Adelina Lisao, yang meninggal dunia selepas didakwa diabaikan majikannya.

Petisyen itu mahu Ambika MA Shan didakwa di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan kes homisid salah tidak sama dengan membunuh atau kematian akibat kecuaian.

Sabitan di bawah undang-undang ini membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun, bergantung kepada tahap niat yang ditentukan pihak pendakwaan.

-Advertisement-

Dalam petisyen itu, Tenaganita menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan sebagai “langkah regresif buat sistem keadilan Malaysia”.

Pada 19 Ogos 2019, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan Ambika daripada tuduhan membunuh Adelina, 26, yang mengalami kegagalan pelbagai organ susulan dakwaan penderaan di sebuah rumah di Bukit Mertajam pada 2018.

Dalam keputusan itu, Mahkamah Tinggi menggunakan Seksyen 254(3) Kanun Tatacara Jenayah dan membebaskan tertuduh atas faktor usia dan kesihatannya.

Selasa lalu, panel 3 hakim Mahkamah Rayuan memutuskan tiada kesilapan dalam keputusan Hakim Akhtar Tahir membebaskan Ambika mengikut Seksyen 254(3) Kanun Tatacara Jenayah.

“Kami berpuas hati hakim menjalankan kuasanya dengan betul,” kata Yaacob Md Sam yang mempengerusikan rayuan itu bersama Abu Bakar Jais dan Nordin Hassan ketika menolak rayuan pihak pendakwaan.

Yaacob berkata, tiada apa dalam rekod yang menunjukkan pihak pendakwaan berhasrat meneruskan perbicaraan selepas memanggil 3 saksi, oleh itu keputusan Mahkamah Tinggi betul dan wajar. -FMT

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share