Pegawai polis mengaku salah terima rasuah di Ipoh

Estimate Reading Time: 2 minutes

IPOH, 25 Sept — Seorang inspektor polis didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh di sini hari ini selepas mengaku bersalah menerima rasuah sebanyak RM3,000 enam tahun lalu.

-Advertisement-

Berdasarkan kertas pertuduhan, Sahrol Zaman Mohd Adom, 38, didakwa menerima wang tunai RM3,000 daripada seorang individu menerusi mesin deposit tunai di Maybank cawangan Silibin di sini pada 14 Mei 2014 kira-kira 12.01 tengah hari.

Dia yang ketika itu bertugas sebagai pengawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh (IPD) di sini didakwa menerima suapan tersebut yang ada kena mengena dengan siasatannya terhadap satu kes di bawah kesalahan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Bagi kesalahan itu, Sahrol Zaman didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Hakim S. Indra Nehru kemudian menetapkan hukuman denda RM6,000 atau penjara empat bulan jika gagal membayar denda itu.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan.

-Advertisement-

Selain itu, Sahrol Zaman mengaku tidak bersalah terhadap tiga lagi tuduhan menerima suapan dengan jumlah keseluruhan RM3,000 pada 8 Mei 2014.

Ayah kepada sepasang anak kembar itu didakwa menerima RM1,000 dan RM500 masing-masing pada 2.10 petang dan 5 petang di ‘C Team’ IPD Ipoh serta RM1,500 melalui pindahan wang telegrafik di Maybank cawangan Kuala Pilah, Negeri Sembilan kira-kira 6.49 petang yang kesemuanya berkait kes sama di bawah siasatannya.

Ketiga-tiga pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Mohd Shahrullah Khan meminta mahkamah melepaskan dan membebaskan anak guamnya daripada ketiga-tiga pertuduhan itu atas pelbagai alasan antaranya perlu menyara keluarga, memberikan kerjasama sepanjang siasatan serta merupakan petugas barisan hadapan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana pada Mac lalu.

Indra Nehru kemudian melepaskan dan membebaskan Sahrol Zaman daripada ketiga-tiga pertuduhan itu serta mengarahkan supaya wang suapan sebanyak RM6,000 yang diterima oleh tertuduh daripada keempat-empat pertuduhan dilucut hak dan diserahkan kepada kerajaan.

Pada 2 Sept lalu, Sahrol Zaman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan pecah amanah melibatkan barang kes rampasan berupa wang tunai sebanyak RM190,721 enam tahun lalu. -BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share