Saya hormat keputusan GRS pilih Hajiji, kata Zahid

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi menghormati keputusan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang sepakat melantik Ketua PPBM Sabah, Hajiji Noor sebagai ketua menteri yang baharu.

-Advertisement-

Dalam kenyataan hari ini beliau berkata, walaupun dari awal ditegaskan jawatan itu seharusnya diserahkan kepada Umno sebagai parti individu yang memenangi jumlah kerusi DUN terbesar dalam gabungan berkenaan, beliau menghormati keputusan itu atas dasar semangat autonomi.

“Saya dimaklumkan oleh Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin selepas rundingan dibuat di kalangan Adun GRS yang menang, akhirnya sepakat mencalonkan Hajiji, demi memastikan kepentingan rakyat Sabah dapat segera diperjuangkan selepas diabaikan kerajaan Warisan sebelum ini,” katanya.

Zahid yang juga presiden Umno berharap kerajaan baharu yang dibentuk segera memberi tumpuan kepada pelbagai agenda untuk membela kepentingan rakyat Sabah sebagaimana termaktub dalam Aku Janji GRS.

-Advertisement-

Hajiji, 65, menggantikan Shafie Apdal, 62, yang penggalnya berakhir lebih awal berikutan pembubaran DUN pada 30 Julai lalu, selepas majoriti kerajaan Warisan Plus pimpinannya tergugat dengan peralihan sokongan 14 Adun kepada bekas ketua menteri, Musa Aman.

Hajiji dijadualkan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, 10.30 pagi esok.

Pada pilihan raya Sabtu lalu, GRS memenangi 38 kerusi, melebihi angka 37 kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Tiga calon bebas dilaporkan menyuarakan sokongan mereka kepada GRS menjadikan jumlah Adun yang menyokong gabungan itu seramai 41 orang. -FMT

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share