4 LRA di Selangor ditutup akibat pencemaran bau

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Operasi 4 loji rawatan air (LRA) di Selangor terpaksa dihentikan akibat pencemaran bau yang dikesan pada sumber air mentah di Sungai Selangor, kata Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

-Advertisement-

Dalam catatan Facebook, LUAS berkata LRA Rantau Panjang, SSP1, SSP2 dan SSP3 ditutup dari jam 12.30 pagi hingga 2 pagi tadi.

“LUAS dan pihak-pihak terlibat sedang menjalankan siasatan dan tindakan-tindakan mitigasi segera,” katanya.

Sementara itu, Air Selangor berkata pencemaran itu akan menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual merangkumi 1,292 kawasan di KL, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat yang melibatkan 1.19 juta akaun pengguna.

-Advertisement-

Tambahnya, proses pencairan dan ‘flushing’ bahan pencemaran telah dilakukan untuk mengurangkan tahap pencemaran sungai yang masih lagi mencatatkan bacaan 1 TON (ukuran kadar bau).

Katanya, gangguan terbaharu itu telah melambatkan proses pemulihan bekalan kepada kawasan yang terjejas akibat paip air terawat yang pecah di LRA SSP1, semalam.

“Air Selangor menyediakan bantuan bekalan air dengan menggerakkan lori-lori tangki ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.”

Klik di sini untuk senarai penuh kawasan yang terjejas.

Awal bulan lalu, pencemaran di Sungai Gong menyebabkan gangguan air tidak berjadual selama beberapa hari yang menjejaskan hampir 1.2 juta isi rumah di 1,292 kawasan di Lembah Klang. -FMT

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share