Industri pelabuhan P Pinang turut terkesan Covid-19

Estimate Reading Time: < 1 minute

GEORGE TOWN: Industri pelabuhan Pulau Pinang turut terkesan dengan penularan wabak Covid-19 sejak awal tahun, sehingga menyebabkan penurunan jumlah pengendalian kontena.

-Advertisement-

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Zairil Khir Johari berkata, pengendalian kontena dijangka mencatatkan penurunan sebanyak 6.6% jika dibandingkan dengan jumlah pengendalian pada 2019.

Beliau berkata, pengendalian kontena tahun ini dijangka hanya akan mencecah 1,040,098 unit bersamaan 20 kaki (TEU) berbanding sebanyak 1,113,618 TEU tahun lepas.

“Industri pelabuhan negeri Pulau Pinang sangat terkesan akibat penularan wabak Covid-19 di mana selain pengendalian kontena, pengendalian kargo konvensional dijangka turut menyusut 17.2%, jika dibandingkan dengan pengendalian pada 2019,” katanya semasa menjawab soalan Dr Afif Bahardin (PPBM-Seberang Jaya) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini.

Katanya, prestasi pengendalian pada 2019 ialah 7,167,415 tan berat muatan (FWT) dan dijangka Penang Port Sdn Bhd (PPSB) hanya akan mengendalikan kargo konvensional sebanyak 5,934,435 FWT sahaja tahun ini.

-Advertisement-

Selain itu, Zairil berkata operasi industri pelayaran di Terminal Kapal Persiaran Swettenham (SPCT) dijangka mencatatkan penurunan pengendalian sebanyak 70.6% berbanding 2019.

“Prestasi pengendalian pada 2019 adalah sebanyak 733,789 penumpang manakala PPSB (Penang Port Sdn Bhd) dijangka hanya dapat mengendalikan 212,627 penumpang sahaja pada 2020,” katanya.

Sebelum ini, sektor pelancongan pelayaran Malaysia adalah yang ke-3 tertinggi di Asia dan pelabuhan George Town menjadi pilihan utama pengunjung direkodkan tahun lepas.

Sehingga semalam, jumlah kes positif Covid-19 di Pulau Pinang sebanyak 636 kes dan mempunyai 2 kluster utama iaitu di Penjara Reman Pulau Pinang dan Penjara Seberang Perai, menjadikan kedua-duanya penjara ke-3 dan ke-4 di negara ini yang dijangkiti Covid-19, selepas Tawau, Sabah dan Alor Setar, Kedah.

Setakat ini, kluster Penjara Reman mencatat 160 kes aktif baharu semalam menjadikan jumlah kes Covid-19 positif adalah 377 dengan 1 kematian, manakala kluster Penjara Jawi pula merekodkan sebanyak 54 kes. -FMT

Share this Article
  • 2
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    2
    Shares