1,914 yang hilang pekerjaan akibat COVID-19 di Kelantan terima bayaran elaun cari pekerjaan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KOTA BHARU, 20 Okt — Sebanyak 1,914 orang yang kehilangan pekerjaan di Kelantan akibat pandemik COVID-19, telah mendapat manfaat dan bayaran Elaun Mencari Pekerjaan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Negeri.

-Advertisement-

Pengarah Perkeso Kelantan Nora Yaacob berkata kebanyakan mereka hilang pekerjaan selepas majikan terpaksa menghentikan operasi disebabkan masalah kewangan yang berpunca daripada pandemik itu.

Beliau berkata Perkeso sentiasa berusaha meluaskan liputan jaringan sosial melalui Akta Keselamatan Insurans Pekerjaan 2017 bagi membantu meringankan bebanan yang dihadapi oleh pencarum.

“Di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diperkenalkan oleh kerajaan, menerusi Program Subsidi Upah dan Program Pengekalan Pekerjaan 3,049 kes telah berjaya diproses, dengan pekerja dipastikan terus mendapat gaji dan majikan boleh meneruskan operasi semasa mengharungi pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

-Advertisement-

Nora berkata pihaknya melalui Program Penjana Kerjaya pula telah memproses sebanyak 426 kes, yang menyaksikan majikan mendapat manfaat daripada Perkeso kerana menyediakan jawatan kosong kepada pencarum yang mencari pekerjaan.

“Sehingga Ogos lepas RM125,000 telah dibayar kepada majikan melalui insentif Penjana Kerjaya di peringkat Kelantan, dan majikan boleh menggunakan portal Myfuture Jobs untuk mengiklankan sebarang jawatan kosong manakala orang ramai pula boleh menggunakan portal itu untuk mencari pekerjaan.

“Portal Myfuture Jobs ini telah diperkenalkan oleh Perkeso sejak bulan Jun, dan sehingga 13 Okt lepas sebanyak 602 majikan (di Kelantan) telah menggunakannya, dan 13,604 pencari kerja berdaftar dengan portal ini,” katanya.

Katanya 404 jawatan kosong yang ditawarkan setakat 13 Okt lepas melalui portal itu dan ia adalah satu kemudahan atau hab terbaik yang boleh digunakan oleh majikan dan pekerja di Kelantan. -BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share