Rakyat Malaysia terkandas rayu dibenar jumpa keluarga

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) mula diumumkan Mac lalu, Panjawarnam T Sellaya, ibu tunggal yang berulang-alik dari Johor ke Singapura untuk bekerja, diberitahu beliau hanya perlu berada di pulau itu selama 2 minggu.

-Advertisement-

“Sekarang, 7 bulan kemudian, saya masih di sini. Sejak itu, saya tak jumpa anak, ibu atau mana-mana ahli keluarga saya.”

Apabila sempadan Malaysia dan Singapura ditutup pada Mac untuk membendung penularan Covid-19, ribuan keluarga yang bergantung kepada hubungan rapat kedua-dua negara itu, terkandas.

Sebagai pencari nafkah tunggal keluarganya, Panjawarnam tidak mempunyai pilihan selain terus bekerja sebagai penasihat keselamatan kanan di sebuah hospital komuniti.

“Beberapa rakan sekerja saya memohon untuk balik ke Malaysia, tetapi syarikat memberitahu mereka tidak akan diterima kembali jika mereka pergi.”

-Advertisement-

Terkandas di Singapura tanpa tahu bila ia akan berakhir, keadaan bertambah buruk pada Jun lalu apabila nenek Panjawarnam meninggal dunia.

Ketika ibu dan kakaknya ke Kuala Lumpur untuk menghadiri pengebumian itu, anaknya yang berusia 10 tahun, Thusshanth dijaga saudara-mara selama sebulan supaya dia terus membuat kerja rumahnya.

“Saya tak kata dia didera, tetapi mereka buat perkara tak sepatutnya kepada anak saya.”

Satu-satunya pilihan Panjawarnam ialah membuat penampilan maya menerusi panggilan video untuk memberi penghormatan terakhir kepada neneknya. Ketika bapa pembaptisannya meninggal dunia sebulan kemudian, beliau sekali lagi terpaksa berkabung melalui FaceTime.

“Kita perlu kuat, berdoa untuk yang terbaik dan berharap kita boleh balik secepat mungkin.” -FMT

Share this Article
  • 2
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    2
    Shares