Harga beras, bijian paling stabil pada dekad lalu

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Harga stabil makanan ialah aspek penting dalam menjamin keselamatan makanan negara kerana perubahan harga akibat gangguan rantaian bekalan dan lonjakan permintaan ketika krisis boleh menyebabkan kenaikan harga di luar kemampuan masyarakat mudah terjejas.

-Advertisement-

Kajian menunjukkan harga barang keperluan tertentu isi rumah boleh mengalami turun naik, dengan perubahan mencerminkan ketidakstabilan pasaran.

Merujuk data KPMG mengenai harga makanan antara 2010 dan 2017, beras serta tepung didapati komoditi paling stabil, manakala harga makanan laut, minyak masak dan pelbagai sayur berbeza dalam tempoh sama.

Turun naik harga tahunan beras adalah sekitar 1%, sementara perubahan harga tepung dan bijian lain melebihi 5%.

Sebaliknya, harga ikan berbeza sebanyak 48% dalam tempoh sama, manakala turun naik harga sayur-sayuran dan minyak masak melebihi 30%.

Kajian juga menunjukkan harga daging lembu dan produk ternakan ayam itik masing-masing mengalami turun naik sehingga 50% serta 8%.

Fatimah Mohamed Arshad, ketua Kluster Pertanian dan Keselamatan Makanan Akademi Profesor Malaysia berkata, turun naik harga biasanya dikaitkan dengan “bekalan tidak stabil dan tidak boleh diubah, dibandingkan permintaan stabil”.

Mengenai mengapa industri padi begitu stabil dalam sejarah, beliau berkata, “sektor padi dan beras sangat dilindungi dan terlindung daripada pasaran dunia”.

“Harga dikawal melalui penetapan harga minimum dijamin untuk petani dan harga siling runcit ditetapkan kerajaan.”

Bernas, syarikat yang bertanggungjawab atas perlindungan itu, berperanan sebagai pengawal tunggal dan satu-satunya pengimport bagi industri beras Malaysia untuk memberi subsidi kepada perlindungan itu. Peranan ini pernah dikritik, dengan Fatimah berpendapat ia memberi tekanan kepada amalan pasaran bebas.

Walaupun model ini dikatakan menyekat saingan perdagangan, ada beberapa aspek positif. Mekanisme pengawal yang ada membantu memastikan pasaran tidak dibanjiri import antarabangsa untuk melindungi pengeluar padi tempatan, dan membantu membayar peranan lain syarikat sebagai pembeli pilihan terakhir, mengambil padi dari petani walaupun permintaan berkurangan.

-Advertisement-

Di negara tanpa pengawal tunggal, ketika saingan boleh menurunkan harga, ia juga boleh menyebabkan kenaikan harga dan kekurangan bekalan, terbaru di Filipina ketika penularan pandemik.

Jun lalu, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu meramalkan dunia di ambang krisis makanan terburuk sejak 50 tahun lalu.

Bagaimanapun, sejak krisis makanan Asia pada 1997, yang menyaksikan produk makanan penting sukar diperolehi di seluruh benua, Malaysia belum mengalami kekurangan makanan besar-besaran. Tahun ini saja, negara maju seperti China dan Amerika Syarikat berdepan ketiadaan makanan ruji.

M Niaz Asadullah, ahli ekonomi pertanian di Universiti Malaya (UM) berkata, “memastikan bekalan dan pengeluaran mencukupi ialah kunci” untuk menstabilkan harga makanan.

“Mengurangkan kebergantungan kepada sumber tunggal bermakna turun naik harga berkurangan jika berlaku perubahan dalam pengeluaran dan syarat perdagangan di negara sumber. Secara dalaman, mengekalkan rangkaian pengangkutan penghantaran tempatan yang baik juga penting.”

Semakin kurang kebergantungan Malaysia kepada pengimportan makanan tertentu, semakin kurang faktor yang dapat mempengaruhi harganya.

“Untuk makanan di mana Malaysia tidak mencukupi dan import tidak dipelbagaikan, harganya menunjukkan turun naik lebih besar.”

Sebagai contoh, katanya, 63% beras Malaysia dihasilkan dalam negara, sebahagian besarnya yang bermaksud import hanya diperlukan untuk memenuhi permintaan selebihnya.

Abdul Rahman Saili, profesor madya dalam perniagaan pertanian di Universiti Teknologi Mara, berkata kerajaan boleh memainkan peranan penting untuk melindungi masyarakat mudah terjejas daripada harga tinggi kerana mereka boleh melaksanakan dasar untuk mengawal harga, melindungi pengeluar dan menguruskan stok, fungsi yang dilaksanakan Bernas dalam kes beras di negara ini.

Memastikan kestabilan harga sangat penting untuk produk makanan ruji kerana turun naik harga komoditi seperti kopi dan minyak sawit cenderung mempengaruhi spektrum sosioekonomi pengguna.

“Ini bukan untuk katakan turun naik harga tanaman ini tidak penting buat kebajikan orang miskin, tetapi ia mungkin kurang penting berbanding turun naik harga makanan ruji.” -FMT

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share