KKM hentikan penggunaan dua vaksin influenza

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menghentikan penggunaan Vaxigrip Tetra Suspension for Injection in Pre-filled Syringe yang dibekalkan di fasilitinya susulan kes kematian yang dikaitkan dengan penggunaan dua vaksin influenza di Korea Selatan.

-Advertisement-

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Dr Faridah Aryani Md Yusof dalam kenyataannya berkata, terdapat sembilan produk vaksin influenza yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Malaysia, termasuk dua produk vaksin influenza yang dikaitkan dengan kes kematian di Korea Selatan iaitu SKYCellflu Quadrivalent dan Vaxigrip Tetra.

“Bagaimanapun pengeluar produk VaxigripTetra, Sanofi Pasteur memaklumkan bahawa nombor kelompok produk Vaxigrip Tetra yang digunakan di Korea Selatan tidak terdapat di pasaran negara lain termasuk negara ini,” katanya.

Menurutnya, KKM mengambil maklum berhubung MOH Circular No. 214/2020 yang dikeluarkan oleh Health Science Authority (HSA), Singapura pada Ahad lalu yang bertajuk “Temporary Cessation on The Use of Two Influenza Vaccines” mengenai pemberhentian sementara penggunaan dua produk vaksin influenza, iaitu SKYCellflu Quadrivalent dan VaxigripTetra.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, KKM menasihatkan agar pengamal perubatan menghentikan sementara penggunaan produk vaksin SKYCellflu Quadrivalent dan VaxigripTetra,” katanya.

-Advertisement-

Mengulas lanjut, Dr Faridah Aryani berkata, KKM juga menjalankan pemantauan secara berterusan melalui program pemantauan mutu produk berdaftar dan farmakovigilans bagi memastikan kualiti, keselamatan serta keberkesanan ubat-ubatan sentiasa terjamin.

“KKM akan memaklumkan perkembangan berkenaan situasi ini setelah maklumat lanjut diperolehi,” katanya.

Dua hari lalu, agensi berita tempatan melaporkan, 48 individu meninggal dunia di Korea Selatan selepas menerima suntikan vaksin influenza.

Kementerian Kesihatan Korea Selatan baru-baru ini berkata, tujuh vaksin influenza dikenal pasti diberikan kepada mangsa yang meninggal dunia.

Sementara itu, Singapura turut menghentikan sementara penggunaan vaksin SKYCellflu Quadrivalent dan VaxigripTetra sebagai langkah berjaga-jaga.-SINAR HARIAN

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share