6 polis ditahan peras ugut orang awam di Serdang

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Enam anggota polis ditahan kerana disyaki memeras ugut orang awam di sekitar Serdang kelmarin.

-Advertisement-

Perkara itu disahkan Ketua Polis Selangor, Noor Azam Jamaludin ketika dihubungi Bernama semalam.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut penahanan semua suspek, beliau berkata, mereka ditahan sepasukan polis dari Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

“Ya, saya mengesahkan mereka ditahan oleh JIPS untuk siasatan lanjut,” katanya ringkas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Razali Abu Samah berkata, pihaknya menyiasat kes itu mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan berhubung kesalahan pemerasan.

-Advertisement-

Katanya, siasatan terperinci sedang dilakukan berhubung kes itu dan semua anggota terbabit ditempatkan di unit pentadbiran buat sementara waktu serta tidak dibenarkan bertugas di lapangan.

“Saya memang tidak bagi peluang kepada mana-mana anggota saya yang bertugas di bawah pentadbiran kawasan Serdang melakukan kegiatan sedemikian (peras ugut).

“Hasrat saya adalah untuk menaikkan imej polis agar masyarakat tidak pandang serong kepada kami apabila berlaku kes-kes sebegini (anggota polis terlibat kes jenayah).”

Bekiau berkata, fokusnya ialah “membersihkan” imej Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang daripada stigma negatif masyarakat dan mengembalikan keyakinan mereka kepada pasukan itu.

“Saya tidak mahu apabila anggota polis terlibat jenayah, masyarakat menganggap kami tidak mengambil tindakan kepada mereka. Sebab itulah saya tidak beri muka apabila anggota saya terlibat jenayah.” -FMT

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share