Berdepan kerugian, tirai pawagam di seluruh negara dilabuh sementara

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Operasi semua pawagam di seluruh negara akan dihentikan sementara bermula November ini, kata Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE).

-Advertisement-

Naib Presidennya, Cheah Chun Wai berkata, langkah itu perlu bagi melindungi perniagaan pawagam untuk tempoh jangka panjang kerana industri itu kini berdepan kerugian hasil sebanyak 90% sejak pandemik Covid-19 mula melanda.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat berikutan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di beberapa negeri, yang menyaksikan pawagam diarahkan tutup, selain kekurangan penerbitan filem baru.

“Langkah menutup dan membuka semula pawagam sangat membebankan, mahal dan mengganggu bukan sahaja kepada pawagam, tetapi juga pemilik bangunan dan pelanggan kami.

-Advertisement-

“Pengendali pawagam di Malaysia sudah meminta bantuan dan sokongan sewa daripada kerajaan untuk industri yang tertekan ini, yang bergelut untuk bertahan dan pulih daripada krisis sejagat ini.

“Sekiranya perniagaan pawagam gagal, ia pasti akan menganggu seluruh ekosistem hiburan.

Cheah berkata, beberapa bulan akan datang sangat penting untuk kelangsungan industri itu kerana ia bergantung kepada kerajaan, pemilik bangunan, studio filem dan penonton dalam mengharungi krisis itu.

Namun katanya, industri itu terus optimis untuk kembali pulih selepas Covid-19, dengan kepercayaan bahawa jumlah penonton filem akan meningkat semula kerana filem merupakan hiburan pilihan utama rakyat Malaysia. -FMT

Share this Article
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •