Belanjawan 2021: Pengecualian cukai, lanjutan pakej prihatin – NGO

Estimate Reading Time: < 1 minute

GEORGE TOWN, 4 Nov — Badan bukan kerajaan (NGO) berharap pengecualian cukai dan lanjutan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau PRIHATIN yang diperkenalkan Kerajaan Persekutuan sebelum ini, akan termasuk dalam insentif Belanjawan 2021.

-Advertisement-

Pesuruhjaya Persatuan Buddha Tzu Chi Merits Malaysia Khoo Boo Leong berharap Kerajaan Persekutuan akan terus melanjutkan pengecualian cukai bagi NGO.

“Tahun ini sahaja kami telah membelanjakan RM6 juta untuk pandemik COVID-19 dan kebanyakan kes, masyarakat memohon bantuan kerana terkesan disebabkan pandemik ini yang berlanjutan, menyebabkan peningkatan pengangguran dan sumbangan yang diterima turut berkurangan,” katanya kepada Bernama.

Belanjawan 2021 dijadual diumumkan pada persidangan Parlimen 6 Nov ini.

-Advertisement-

Sementara itu, Presiden One Hope Charity and Welfare Berhad (One Hope) Chua Sui Hau berharap Kerajaan Persekutuan akan melanjutkan program dan insentif yang diperkenalkan dalam pakej PRIHATIN untuk membantu keluarga berpendapatan rendah yang terjejas dengan wabak itu.

Beliau berkata bantuan ekonomi yang diberi dapat mengurangkan beban tanggungan keluarga yang terjejas disebabkan pandemik COVID-19 terutama bagi golongan B40.

“Saya sangat berharap kerajaan akan lebih prihatin terhadap kebajikan petugas barisan hadapan perubatan dan terus menawarkan insentif tunai kepada mereka yang membantu memerangi COVID-19,” katanya.

Beliau juga berkata walaupun kutipan dana One Hope berkurangan berbanding tahun lepas, tetapi ia masih berupaya mengumpulkan dana perubatan bagi membantu golongan yang memerlukan buat masa ini.

“Walaupun pandemik ini telah menjejaskan ramai orang, namun penderma kami masih mampu memberi sinar kegembiraan kepada penerima,” katanya. – BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share