Kerajaan sedang kaji saranan benar pencarum keluarkan dana Akaun 1 KWSP

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA: Kerajaan sedang mengkaji saranan untuk membenarkan pencarum tertentu mengeluarkan dana daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

-Advertisement-

“Saya berbincang dengan Kementerian Kewangan dan kita pada dasarnya bersetuju dan bersedia untuk mengkaji cadangan untuk pencarum yang benar-benar memerlukan untuk mengeluarkan peruntukan daripada Akaun 1,” katanya dalam temu bual Bernama dan stesen televisyen tempatan lain hari ini, menjelang pembentangan Belanjawan 2021.

Belanjawan yang akan dibentangkan pada 6 Nov itu merupakan yang pertama bawah pentadbiran Perikatan Nasional.

Kerajaan pada tahun ini melaksanakan beberapa kelonggaran berhubung KWSP, khususnya membenarkan caruman pekerja dikurangkan kepada 7% daripada 11% dan pengeluaran menerusi i-Lestari yang mana pencarum boleh mengeluarkan simpanan maksimum RM500 sebulan untuk tempoh 12 bulan daripada Akaun 2 masing-masing.

Hampir 70% daripada ahli KWSP memilih untuk mengurangkan caruman pekerja kepada 7% yang kini menyumbang kepada meningkatkan pendapatan boleh guna sebanyak hampir RM700 juta sebulan.

Bagaimanapun, memandangkan lebih daripada 30% ahli KWSP mempunyai simpanan kurang daripada RM5,000, simpanan KWSP tidak semestinya dapat menangani masalah aliran tunai pencarum.

“Ada yang mempunyai caruman yang kurang daripada RM1,000. Oleh itu simpanan KWSP ini tidak semestinya dapat menangani masalah aliran tunai pencarum.

“Jika mereka keluarkan, mereka tidak akan mempunyai sebarang simpanan bagi masa depan.

“Namun, kerajaan sentiasa bersedia untuk mengkaji cadangan untuk membantu rakyat yang menghadapi kesusahan dan yang benar-benar memerlukan,” kata Muhyiddin.

-Advertisement-

Menurutnya, perlu ada keseimbangan dalam keperluan jangka pendek individu yang terjejas dengan keperluan jangka panjang simpanan persaraannya.

Mengenai gesaan beberapa pihak supaya melanjutkan moratorium, perdana menteri berkata, kerajaan telah berbincang dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Persatuan Bank-bank Dalam Malaysia (ABM).

“Kerajaan menerima banyak maklum balas berhubung keperluan untuk melanjutkan moratorium terutamanya bagi mereka yang terjejas.

“Justeru, kerajaan akan mengkaji kaedah bagi memudahcarakan proses bagi mereka yang benar-benar memerlukan sokongan dan akan mengumumkan keputusannya dalam masa yang terdekat,” katanya, sambil menambah pertimbangan akan diberikan kepada kumpulan tertentu yang terjejas teruk.

Malaysia merupakan satu-satunya negara yang menyediakan moratorium pinjaman secara menyeluruh dalam usaha menangani impak daripada Covid-19.

“Tiada negara lain yang mengambil pendekatan seperti Malaysia untuk menawarkan moratorium secara automatik kepada semua peminjam. Pendekatan ini mempunyai kelebihan dengan memberi bantuan kepada ramai dengan segera,” kata Muhyiddin.

Bagaimanapun, memandangkan hampir semua peminjam mengambil kemudahan moratorium ini, ia mengurangkan dana untuk mereka yang benar-benar memerlukan selain institusi bank juga kekurangan dana untuk mengeluarkan pinjaman baharu.

“Justeru, kerajaan mengambil langkah untuk beralih kepada pendekatan yang lebih bersasar,” katanya.

Setakat 16 Okt 2020, lebih 650,000 permohonan bantuan bayaran balik pinjaman terdiri daripada 603,500 permohonan daripada individu, 43,000 permohonan daripada PKS, dan 3,500 permohonan daripada perniagaan lain diterima.

Daripada jumlah itu, kadar kelulusan yang diberikan adalah sebanyak 98%. -FMT

Share this Article
  • 2
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    2
    Shares