PM harap semua sokong Belanjawan 2021 demi rakyat, negara

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA: Muhyiddin Yassin berharap semua ahli Parlimen termasuk blok pembangkang menyokong Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan Jumaat ini demi kepentingan rakyat dan kebaikan negara.

-Advertisement-

Perdana menteri optimis semua ahli politik komited dan akan bekerjasama untuk kebaikan negara.

“Pada sesi Parlimen lepas, tidak ada seorang pun ahli Parlimen yang menentang Akta Kumpulan Wang Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas dengan Bernama dan stesen televisyen tempatan menjelang pembentangan Belanjawan 2021 Jumaat ini.

“Melihat kepada kepentingan Belanjawan 2021 dalam meneruskan usaha menangani wabak Covid-19, melindungi kelangsungan hidup golongan mudah terjejas dan memacu ekonomi, saya berharap semua ahli Parlimen daripada semua latar belakang politik akan menyokong Belanjawan 2021,” katanya.

Muhyiddin berkata, semua pihak perlu menumpukan usaha bagi membantu rakyat yang terkesan teruk susulan Covid-19 ketika negara berhadapan situasi sukar dan menyulitkan.

“Isu di hadapan kita bukan isu kerajaan semata-mata tapi isu negara.

“Kalau kita sayangkan negara kita… kita nak selamatkan negara kita dengan apa cara pun,” katanya.

-Advertisement-

Beliau berkata, kerajaan sememangnya mempunyai tanggungjawab dan bebanan utama dalam perkara itu.

“Boleh ringankan bebanan itu jika semua pihak ketepikan fahaman politik dan membantu kerajaan,” katanya.

“Jemaah menteri boleh laksanakan dan pegawai kerajaan yang diamanahkan pun boleh melaksanakannya, namun kalau pihak lain dapat membantu lagi dalam apa jua sekalipun, ia merupakan pengorbanan yang amat kita hargai,” katanya.

Muhyiddin percaya belanjawan itu akan mendapat sokongan semua peringkat lapisan ahli Parlimen dan seterusnya di peringkat Dewan Negara.

“Saya harap ini dapat ditunaikan supaya bebanan kerajaan dan rakyat dapat dikurangkan,” katanya.

Katanya, belanjawan itu merupakan belanjawan yang inklusif kerana pandangan pelbagai pihak termasuk parti pembangkang, pertubuhan bukan kerajaan, ahli perniagaan dan rakyat.

Menurutnya, ini kali pertama dalam sejarah negara input daripada pembangkang diambil kira dalam penggubalan belanjawan negara.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dijadual membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat Jumaat ini. – FMT

Share this Article
  • 3
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    3
    Shares