FAMA, PKPS tandatangani MoU, bekerjasama jamin keselamatan makanan

Estimate Reading Time: < 1 minute

SHAH ALAM, 5 Nov — Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk meningkatkan kerjasama pengurusan bekalan serta rantaian pemasaran sebagai jaminan keselamatan makanan.

-Advertisement-

MOU berkenaan ditandatangani oleh Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Abdul Ghariff Ramin secara maya dengan disaksikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di sini, hari ini.

Amirudin menyifatkan kerjasama jaminan keselamatan makanan itu sebagai kesinambungan daripada pengumumannya dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2021 pada Jumaat lepas.

Katanya kerajaan negeri menyambut baik kesediaan FAMA untuk bersama-sama merencana hala tuju strategik berkaitan isu jaminan bekalan makanan di Selangor.

-Advertisement-

“PKPS sebagai anak syarikat kerajaan negeri yang menumpukan kepada sektor pertanian adalah rakan usaha sama terbaik bagi merealisasikan hasrat perkongsian pintar ini,” katanya pada sidang media selepas majlis berkenaan.

Amirudin berkata kerjasama itu juga akan memberi tumpuan dalam lima aspek antaranya perkongsian infrastruktur, khidmat nasihat dan perkongsian kepakaran.

“FAMA mempunyai pusat operasi dilengkapi bilik sejuk di Kuala Selangor, Sabak Bernam, Puchong dan Dengkil yang boleh dikongsi dengan PKPS untuk menyimpan stok bekalan bagi memastikan rantaian makanan kepada penduduk di negeri ini tidak terjejas seperti mana yang dialami pada awal penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Mac lepas,” katanya.

Jelas Amirudin, pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini memberi pengajaran bahawa bekalan makanan bukan hanya tidak mencukupi sekiranya di musim perayaan atau bencana, malah ia juga boleh terjadi ketika rantaian bekalan makanan itu terganggu.

“Kerajaan negeri kini tidak hanya akan menumpukan terhadap penghasilan makanan, malah kita turut menumpukan kepada keseluruhan perjalanan bekalan makanan itu daripada benih sehingga ke tangan pengguna,” katanya. -BERNAMA

Share this Article
  • 11
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    11
    Shares