PKPB: KPDNHEP beri jaminan bekalan barangan keperluan mencukupi

Estimate Reading Time: 2 minutes

GEORGE TOWN, 6 Nov — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang memberi jaminan bahawa bekalan barang keperluan harian di daerah Barat Daya khususnya di Mukim 12 adalah mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

-Advertisement-

Pengarah KPDNHEP negeri, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata tinjauan di pasar raya mendapati tiada pembelian panik yang dilakukan oleh penduduk menunjukkan penduduk matang dalam menghadapi PKPB serta berjaya belajar daripada kesilapan lalu semasa awal PKP dikuatkuasakan.

“Saya dimaklumkan oleh pihak pasar raya walaupun ada peningkatan pembelian barang seperti telur dan sebagainya, tetapi tiada berlakunya pembelian panik di sini. Barang-barang keperluan yang disediakan adalah mencukupi.

“Bermula kelmarin, KPDNHEP telah meningkatkan pemeriksaan ke atas premis perniagaan di semua peringkat sekitar kawasan yang diwartakan sebagai kawasan PKPB untuk memantau supaya peniaga tidak sewenang-wenangnya menaikkkan harga barangan dan memastikan stok barang keperluan adalah mencukupi,” katanya kepada pemberita selepas membuat pemantauan bekalan di kawasan Bayan Baru hari ini.

-Advertisement-

Tambahnya, selain pemantauan ke atas barang makanan dan keperluan asas, sebanyak 3,384 pemeriksaan telah dilaksanakan untuk memantau harga pelitup muka manakala 2,491 pemeriksaan dilakukan untuk memantau harga cecair pembasmi kuman sehingga kelmarin. Secara keseluruhannya, KPDNHEP Pulau Pinang telah menjalankan pemeriksaan di 37,902 premis sejak Januari sehingga 30 Okt tahun ini.

Pada 4 Nov lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPB di Mukim 12 bermula hari ini ekoran peningkatan kes COVID-19 di kawasan itu.

Mohd Ridzuan turut memberi amaran kepada para peniaga supaya tidak menaikkan harga barangan atau tindakan akan diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. Jika didapati bersalah menyembunyikan barang kawalan, pelaku boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya telah menerima 1,484 aduan sejak awal tahun dan majoriti aduan bersamaan 456 adalah berkenaan transaksi atau pembelian dalam talian.

“Sejak PKP, kami mendapati trend pembelian dalam talian semakin banyak, jadi peningkatan aduan dalam transaksi ini semakin meningkat. Aduan berkaitan harga adalah sebanyak 446, merupakan kedua tertinggi manakala 194 aduan berkenaan perkhidmatan yang mengelirukan telah dicatatkan,” katanya. -BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share