Skim jaminan pekerjaan ancam ekonomi, kata pakar

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Seorang pakar ekonomi mengingatkan tentang bahaya kepada ekonomi Malaysia sekiranya kerajaan menerima gesaan Pemuda PKR supaya melaksanakan dasar jaminan pekerjaan.

-Advertisement-

Geoffrey Williams dari Universiti HELP berkata, dasar sedemikian tidak boleh dilaksanakan kerana ramai rakyat Malaysia yang menganggur.

Beliau menganggarkan pandemik Covid-19 menyebabkan 2 juta orang di negara ini sama ada hilang pekerjaan atau termasuk dalam kategori guna tenaga tidak penuh.

Ketika mencadangkan dasar tersebut pada Rabu, ketua komunikasi Pemuda PKR Chan Chun Kuang menganggarkan lebih 741,600 rakyat Malaysia menganggur pada masa ini dengan memetik laporan Jabatan Perangkaan Malaysia.

Pada Julai lalu, Pemuda Umno menggesa dasar yang sama disasarkan kepada golongan muda.

Williams memberitahu FMT bahawa beliau memahami gesaan PKR supaya rakyat ditawarkan pekerjaan dengan gaji tetap dalam sektor awam dan syarikat swasta digalakkan menawarkan pekerjaan melalui insentif subsidi upah dan pengambilan pekerja lain.

Beliau berkata dasar yang sama dilaksanakan di bekas Kesatuan Soviet dari 1928 hingga 1991, di China dari 1949 hingga 1997 dan di Australia pada pertengahan 1990-an.

Katanya, hasil dasar berkenaan kurang memuaskan kerana mereka mewujudkan pekerjaan palsu dan ini menyebabkan ketidaklenturan dalam pasaran buruh.

Beliau turut menambah bahawa kesan jangka panjangnya ke atas ekonomi negara terbabit adalah negatif.

Katanya, beliau bimbang pelaksanaan dasar sebegini di Malaysia akan menyebabkan firma mengupah orang semata-mata untuk mendapatkan yuran pengambilan daripada kerajaan atau akan memecat pekerja jika subsidi tidak diberikan.

-Advertisement-

“Ia terlalu mentah untuk dijadikan solusi berguna sebagai respons kepada krisis,” katanya.

“Ia hanya boleh diperkenalkan sebagai sebahagian daripada sistem kebajikan sosial dan pembaharuan pekerjaan yang lebih menyeluruh.

“Terdapat banyak kos pemantauan dan kesan buruk yang menjadikannya sukar untuk dilaksanakan.

“Bukan tugas kerajaan untuk mewujudkan pekerjaan palsu. Sebaliknya kerajaan bertanggungjawab mewujudkan persekitaran yang sesuai bagi membolehkan pasaran mewujudkan pekerjaan sebenar, gaji yang tinggi dan lestari.”

Williams berkata, cara terbaik untuk menangani masalah pengangguran ialah dengan kerajaan memacu permintaan pengguna dengan memberikan wang kepada rakyat dan menggalakkan mereka berbelanja.

Timbalan presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, kerajaan harus fokus untuk menambah sumber kepada Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), bukannya merangka dasar jaminan pekerjaan.

“Kerajaan perlu memperbaiki SIP,” katanya. “Kita perlu menggalakkan lebih ramai pekerja mendaftar.”

Beliau berkata ramai masih tidak menyedari tentang SIP dan kebaikannya seperti peruntukan penggantian pendapatan bagi orang yang menganggur selepas menerima elaun mencari kerja selama 6 bulan.

Pengarah eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan berkata, kerajaan boleh menawarkan hanya beberapa pekerjaan di bawah dasar yang dicadangkan itu kerana bilangan penjawat awam sudah mencukupi.

Bagaimanapun, beliau berkata, ia boleh dijadikan langkah sementara yang baik yang membolehkan rakyat menerima pendapatan tertentu sehingga ekonomi pulih dan pasaran buruh bergerak semula.

Beliau berkata ia boleh dilaksanakan dengan cara yang sama dengan “Ops Isi Penuh”, iaitu program pengambilan pekerja perkhidmatan awam kerajaan pada 1980. -FMT

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share