Kerajaan nafi tiada peruntukan sekolah vernakular

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR – Dakwaan bahawa sekolah vernakular dipinggirkan dalam peruntukan Belanjawan 2021 adalah tidak benar, demikian tegas Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan.

-Advertisement-

Beliau yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, peruntukan khas bagi Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil dan SJK Cina walaupun tidak dinyatakan ketika pembentangan Belanjawan, sebenarnya terkandung dalam peruntukan Kementerian Pendidikan.

“Sebelum ini, kerajaan setiap tahun memperuntukkan peruntukan khas pembangunan sekolah-sekolah Cina dan Tamil berjumlah RM50 hingga RM100 juta, dan kali ini kita lihat (dalam pembentangan) tiada peruntukan sehingga masyarakat tidak berpuas hati.

“Pagi ini, saya telah berbincang dengan Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) dan Menteri Kanan Pendidikan (Dr Radzi Jidin) dan mereka telah mengesahkan penukaran pendekatan.

-Advertisement-

“Dalam pembentangan Belanjawan sebelum ini, pengumuman (peruntukan) Sekolah Kebangsaan, SJKT dan SJKC diletakkan secara berasingan, tetapi kali ini semuanya diletakkan di bawah (peruntukan) Kementerian Pendidikan,” katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Tengku Zafrul dalam pembentangan Belanjawan 2021 Jumaat lalu mengumumkan Kementerian Pendidikan menerima peruntukan terbesar iaitu RM50.4 bilion atau 15.6 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, Menteri Kanan Pendidikan akan mengumumkan pecahan peruntukan secara terperinci untuk setiap jenis sekolah di negara ini dalam masa terdekat.

“Maka, saya minta masyarakat India bersabar sehingga pengumuman dibuat oleh Menteri Pendidikan,” katanya.- Bernama

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share