Tiada potongan belanjawan untuk rawatan NCD, kata KKM

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA: Walaupun tumpuan negara ketika ini ialah menangani Covid-19, namun peruntukan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam Belanjawan 2021 bagi perbelanjaan lain, terutamanya penyakit tidak berjangkit (NCD) masih diberi keutamaan demi menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat.

-Advertisement-

Ketua Setiausaha KKM, Dr Chen Chaw Min berkata, dalam belanjawan itu, rawatan untuk NCD tidak pernah diabaikan, sebaliknya ia masih diteruskan dan peruntukan untuk tujuan itu juga tidak dikurangkan.

“Perkara itu selaras Agenda Nasional Malaysia Sihat yang diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz pada pembentangan Belanjawan 2021 Jumaat lepas dengan peruntukan sebanyak RM19 juta,” katanya pada sesi taklimat media berkenaan Belanjawan 2021 di sini semalam.

Agenda Nasional Malaysia Sihat bertujuan memantapkan amalan gaya hidup sihat bagi mengurangkan risiko menghidap penyakit diabetes, hipertensi dan obesiti.

Chen berkata, tafsiran beberapa pihak yang mengatakan berlaku pengurangan 2.57% dalam peruntukan mengurus kepada RM27.22 bilion untuk 2021 berbanding RM27.94 bilion pada tahun sebelumnya kurang tepat.

“Ini adalah strategi belanjawan yang dibuat Kementerian Kewangan dengan memindahkan beberapa butiran daripada perbelanjaan pengurusan kepada perbelanjaan pembangunan. Beberapa butiran itu berkait dengan pembiayaan projek jangka panjang.”

Bagi Belanjawan 2021, KKM menerima peruntukan RM31.94 bilion melibatkan perbelanjaan mengurus RM27.22 bilion dan RM4.72 bilion untuk perbelanjaan pembangunan, berbanding RM30.6 bilion bagi Belanjawan 2020 yang meliputi RM27.94 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM2.66 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

“Ia merupakan strategi dan penambahbaikan dalam belanjawan yang baru. Ini membolehkan KKM mengawal dan memantau peruntukan dan perbelanjaan secara menyeluruh dan lebih efisien bagi semua kemudahan kesihatan KKM.”

-Advertisement-

Katanya, KKM sejak dulu lagi merupakan antara kementerian yang menerima peruntukan tertinggi selepas Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan.

Beliau berkata, peruntukan yang diberi kepada KKM terus meningkat setiap tahun, iaitu daripada RM15.35 bilion pada 2010 kepada RM30.6 bilion pada 2020, peningkatan sebanyak RM15 bilion dalam tempoh 10 tahun.

“Sudah tentu kita ada senarai harapan untuk mendapatkan lebih banyak (peruntukan), tetapi kita perlu memahami keadaan ekonomi secara keseluruhan. Bagi kami, kami melihat kenaikan tahunan secara beransur-ansur dalam belanjawan kami dan sangat gembira mengenai perkara tersebut.

“Tetapi, tidak kira berapa banyak kita perolehi, mesti ada cara inovasi untuk memperbaiki dan membuat perbelanjaan berhemah dalam menguruskan kementerian dengan cekap.”

Chen berkata, ia membuat banyak inovasi seperti membeli peralatan baru, KKM akan menyewa atau memajak untuk memilikinya, membuat tender terbuka bagi mendapatkan harga terbaik dan melakukan perolehan kumpulan dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pertahanan.

“Ini semua penjimatan yang telah kita buat dan dengan penjimatan itu, kita dapat memperuntukkan lebihannya untuk aktiviti lain.”

Pada masa sama, katanya, inisiatif kesihatan tidak hanya terletak di bawah KKM, tetapi juga kementerian lain seperti inisiatif pengurangan cukai bagi perbelanjaan perubatan dan MySalam di bawah Kementerian Kewangan, program saringan kanser serviks dan insentif subsidi ujian mamogram di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta pembinaan taska buat petugas barisan depan.

Beliau berkata, KKM turut membuat permohonan kepada kerajaan bagi pembinaan Hospital Penyakit Berjangkit yang dimasukkan di bawah Unit Perancang Ekonomi (EPU). -FMT

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share