Isu pendatang di Sabah perlu ditangani segera

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 10 Nov — Bukan lawak jenaka mahupun bermotifkan politik, namun masalah pendatang tanpa izin yang antara lain menyumbang kepada gelombang ketiga pandemik COVID-19 di negeri Sabah perlu ditangani segera, tegas seorang ahli Parlimen dari Negeri di Bawah Bayu itu di Dewan Rakyat hari ini.

-Advertisement-

Menyuarakan kebimbangan berhubung ancaman yang tidak dapat dilihat mata kasar itu, Datuk Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) berkata sempadan yang panjang dan kerap kali dibolosi menyebabkan terlalu ramai pendatang berada di negara ini, terutama di Sabah.

“Berlakunya gelombang ketiga pandemik COVID-19 di Sabah bukti jelas bahaya yang dibawa oleh pendatang tanpa izin ini. Kerajaan mesti mencari jalan dan usaha lebih berkesan mengatasi masalah ini,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 hari ini.

Memuji langkah kerajaan menerusi usaha Op Benteng yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan agensi-agensi penguatkuasaan negara, Azizah berkata lebih banyak operasi serupa perlu dilaksanakan di lokasi lain bagi memastikan usaha membanteras pendatang lebih berjaya.

Semalam, sebanyak 972 kes baharu positif COVID-19 dicatatkan negara dengan 38.1 peratus atau 370 kes daripadanya di Sabah.

-Advertisement-

Katanya kerajaan perlu memanfaatkan hubungan dua hala dengan negara-negara jiran yang berkenaan untuk mencapai penyelesaian terbaik dalam isu itu.

Pada masa sama, Azizah berpandangan pandemik COVID-19 juga telah menunjukkan bahawa keperluan fasiliti kesihatan yang lengkap adalah amat penting dan perlu disediakan kepada rakyat.

Sehubungan itu kerajaan perlu membantu mewujudkan fasiliti kesihatan di kawasan-kawasan yang tidak mempunyai kemudahan tersebut pada kadar segera di samping peralatan yang mencukupi dan terkini untuk rakyat di bandar dan luar bandar, kata beliau.

Mengenai pertanian pula, Azizah berpandangan kerajaan perlu melihat pendekatan dan strategi baharu bagi melonjakkan ekonomi penduduk luar bandar, termasuk petani, peladang, penternak dan nelayan secara holisitik.

“Saya percaya pasaran produk halal terbuka luas di seluruh dunia bukan sahaja kepada hampir dua bilion umat Islam, malah boleh memenuhi keperluan bukan Islam,” katanya. -BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share