Keuntungan bersih Nestle Malaysia susut kepada RM128.39 juta

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 10 Nov — Keuntungan bersih Nestle (Malaysia) Bhd bagi suku ketiga berakhir 30 Sept 2020 merosot kepada RM128.39 juta daripada RM148.99 juta yang direkodkan dalam suku yang sama tahun sebelumnya, diseret turun oleh saluran pasaran perhotelan, restoran dan kafe (HORECA).

-Advertisement-

Ia juga terjejas oleh perbelanjaan operasi yang lebih tinggi berikutan usaha pengasingan di tempat kerja dan langkah keselamatan serta kesinambungan operasi semasa pandemik COVID-19.

Kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata hasil juga susut kepada RM1.39 bilion daripada RM1.40 bilion.

-Advertisement-

Perniagaan makanan dan minuman merupakan penyumbang utama, mencatatkan pertumbuhan 2.2 peratus selepas didorong oleh penggunaan dalam rumah dan pemulihan eksport yang mengukuh.

Bagaimanapun, saluran HORECA kekal di bawah garis dasar tahun sebelumnya tetapi mendapat momentum secara progresif berikutan pelonggaran dalam kekangan operasi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sejak pertengahan Jun lalu.

“Walaupun cabaran semasa dijangka berterusan dalam jangka masa terdekat, kami percaya prospek jangka panjang adalah positif dan kami akan bekerja keras untuk memenangi keyakinan serta kepercayaan rakyat Malaysia,” kata kumpulan itu.

Ia juga kekal komited untuk terus memacu nilai pemegang saham dan mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 70 sen sesaham, mencerminkan keyakinan bagi menyampaikan satu lagi tahun keputusan yang berdaya tahan. -BERNAMA

Share this Article
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •