Pelaksanaan PKPB, wabak Covid-19 tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Hal-hal berkaitan wabak Covid-19 serta pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di 7 negeri bermula semalam bakal dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

-Advertisement-

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang dipaparkan dalam laman rasmi Parlimen, kedua-dua perkara berkenaan terkandung dalam 3 soalan utama pada Sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) yang bermula pada 10 pagi ini.

Wong Shu Qi (PH-Kluang) meminta perdana menteri menyatakan rasional pelaksanaan PKPB di 7 negeri, manakala Dr Kelvin Yii Wuen (PH-Bandar Kuching) pula bertanyakan kepada menteri pendidikan rasional penutupan sekolah di seluruh negara termasuk kawasan hijau Covid-19 serta penangguhan peperiksaan awam dan rancangan membantu pelajar yang tiada kemudahan Internet.

Soalan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (PPBM-Sabak Bernam) kepada menteri kesihatan pula berkisar bilangan kluster yang menyebarkan pandemik Covid-19 dan bilangan kluster yang masih aktif terkini dan setakat manakah kluster-kluster ini memberi kesan kepada penyebaran virus di dalam negara.

Bagaimanapun seperti ditetapkan sebelum ini, sesi MQT kali ini hanya memerlukan ahli-ahli Parlimen membacakan soalan dan menteri berkenaan akan menjawab secara bertulis pada hari sama, dengan soalan dan jawapan itu akan disiarkan dalam portal Parlimen Malaysia secepat mungkin.

-Advertisement-

Usai sesi itu, tumpuan akan beralih kepada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang antara lain tertumpu kepada soalan daripada Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) yang meminta menteri kewangan menyatakan perancangan kerajaan pasca-perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) bagi membantu rakyat yang kehilangan sumber pendapatan akibat Covid-19.

Perbahasan berkaitan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 berkenaan Belanjawan 2021 kemudiannya akan mengambil tempat untuk hari ke-2 selepas membuka tirainya semalam.

Sidang Dewan bermula minggu ini berlangsung hanya 4 jam iaitu pada 10 pagi hingga 2 petang setiap Isnin hingga Khamis, selain mengehadkan hanya 80 Ahli Parlimen – 41 pihak kerajaan, 39 pembangkang dan Bebas – dibenar berada di dalam dewan pada satu-satu masa.

Ia sebagai langkah berjaga-jaga berikutan penularan wabak Covid-19.

Menurut takwim Dewan Rakyat, Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 27 hari sehingga 15 Dis. -FMT

Share this Article
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •