Akad nikah hanya dibenar di pejabat agama

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA TERENGGANU – Majlis akad nikah di negeri ini hanya dibenarkan dilangsungkan di pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Pejabat Agama Daerah (PAD) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

-Advertisement-

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Mat Azmi Arshad berkata, arahan itu dikeluarkan bagi memastikan keselamatan orang ramai dan memudahkan pemantauan pematuhan tatacara.

Susulan itu katanya, pelaksanaan majlis akad nikah di premis persendirian, masjid, surau dan di tempat awam yang lain adalah tidak dibenarkan kecuali mendapat kelulusan khas daripada Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Orang lslam Negeri Terengganu melalui borang A.

“Kita tidak menggalakkan mereka adakan majlis di kediaman atau tempat lain kerana sukar untuk mereka patuhi prosedur operasi standard (SOP) tapi jika mereka nak buat juga di tempat lain, perlu dapatkan kebenaran khas dan menandatangani akujanji untuk mengikut SOP.

“Pasangan pengantin dan ahli keluarga juga tidak dibenarkan untuk memilih jurunikah, sebaliknya pegawai agama daerah yang akan menentukan jurunikah dan waktu pelaksanaan majlis akad nikah, mengikut jadual yang disusun dengan mengambil kira perbincangan dengan pihak pemohon,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

-Advertisement-

Mengulas lanjut, beliau berkata, jumlah hadirin ke majlis juga perlu dihadkan dan tidak melebihi 15 orang dewasa, termasuk seorang jurunikah, pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali dan saksi bagi pasangan pengantin.

Selain itu, majlis akad nikah perlu dipendekkan dan tidak melebihi 30 minit.

“Individu yang mengalami gejala seperti batuk, selesema, demam dan sesak nafas tidak dibenarkan hadir dalam majlis tersebut termasuk kanak-kanak dan warga emas berisiko.

“Semua yang hadir pada majlis akad nikah juga perlu mendaftarkan nama, alamat semasa serta nombor telefon di dalam borang B dan diserahkan kepada pejabat agama daerah atau wakilnya serta menggunakan sanitizer sebelum dan selepas majlis akad nikah.

“Sebarang majlis atau upacara adat istiadat dalam majlis perkahwinan adalah tidak dibenarkan sama sekali,” katanya.- Sinar Harian

Share this Article
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •