Kerjasama kukuh sektor awam-swasta diperlukan untuk wujudkan peluang pekerjaan

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 11 Nov — Kerjasama sektor awam-swasta amat diperlukan untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada pencari pekerja, sekali gus dapat menurunkan kadar pengangguran di Malaysia, demikian menurut Laporan The 2020/21 Malaysia Salary Guide yang disediakan oleh penyedia penyelesaian tenaga kerja, Kelly Services.

-Advertisement-

Laporan itu yang dikeluarkan hari ini turut menekankan keperluan kemahiran digital – permintaan utama oleh majikan dalam kebanyakan industri.

Pengarah Urusan Kelly Services Malaysia, Brian Sim berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menghasilkan gelombang transformasi digital di semua organisasi yang seterusnya meningkatkan permintaan terhadap pekerja berkemahiran tinggi yang mampu menyesuaikan diri dengan pantas kepada teknologi baharu.

“Normal baharu ini telah menyebabkan organisasi berani meneroka pelbagai cara bekerja yang baharu menggunakan teknologi dalam usaha memastikan kesinambungan produktiviti dan perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sim juga berkata transformasi ini berkekalan, dan mempercepatkan perjalanan Malaysia menuju Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

“Menuju ke 2021, kemahiran digital akan menjadi asas kepada kadar kebolehkerjaan pencari kerja dan akan menjadi unsur penting kepada kemajuan kerjaya mereka yang sudah bekerja,” katanya.

-Advertisement-

Laporan itu turut mendedahkan terdapat banyak ‘pekerjaan kolar baharu’ dalam sektor teknologi maklumat, yang tidak terjejas oleh pandemik COVID-19.

Pekerja kolar baharu adalah individu yang mengembangkan kemahiran teknikal dan insaniah yang diperlukan untuk bekerja dalam pekerjaan berteknologi menerusi cara pendidikan tidak tradisional.

Laporan itu juga menyatakan pekerjaan jarak jauh telah memacu penggunaan perisian kerjasama, penyimpanan data awan dan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin, mewujudkan permintaan bagi tenaga kerja dalam sektor ini.

Menurut laporan itu, meskipun segmen teknologi maklumat tertentu mencatatkan kelembapan, keadaan tersebut dijangka akan stabil.

“Namun, para majikan perlu menambah baik gaji dan menyediakan peluang pertumbuhan kerjaya untuk menarik dan mengekalkan tenaga kerja penting dalam organisasi mereka.

“Pekerjaan yang menjadi tumpuan dalam sektor ini termasuklah pemaju perisian utama, pengurus keselamatan maklumat, jurutera perisian dan pengaturcara analisis,” kata laporan itu. -BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share