Kilang di Rawang dikesan punca pencemaran bau di Sungai Selangor

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Pencemaran bau di Sungai Selangor semalam dikesan berpunca daripada sebuah kilang di Taman Velox, Rawang yang melupuskan buangan terjadual melalui lurang pembetung di dalam premis dan mengalir ke loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium (IWK), menurut sumber.

-Advertisement-

Sumber dalam pasukan siasatan bersama itu berkata, hasil pemeriksaan di kilang itu menemui 40 tangki air plastik mengandungi cecair pelbagai warna dan bau seakan-akan bau yang dikesan di loji rawatan kumbahan IWK serta 4 loji rawatan air yang dihentikan operasi semalam.

“Berdasarkan siasatan, premis itu disyaki menyimpan buangan terjadual seperti dakwat, cat dan pigmen.

“Premis itu juga didapati melupuskan buangan terjadual ini melalui lurang pembetungan di dalam premis,” sumber memberitahu FMT.

Katanya, 10 sampel buangan terjadual itu diambil dan laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, manakala Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyita kilang itu kerana tidak mempunyai lesen.

Pasukan siasatan bersama itu terdiri daripada Jabatan Alam Sekitar, polis, MPS, Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Air Selangor.

-Advertisement-

Semalam, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Zaini Ujang dipetik Bernama sebagai berkata, pencemaran bau di Sungai Selangor itu menyebabkan air loji rawatan kumbahan IWK di Taman Velox bertukar warna merah dan mengeluarkan bau seakan-akan bawang busuk.

Beliau berkata, pihaknya percaya terdapat industri berdekatan kawasan industri kecil dan sederhana di Taman Velox Rawang yang mengeluarkan efluen (sisa buangan) berwarna merah yang bertanggungjawab ke atas pencemaran bau itu.

“Loji kumbahan IWK ini hanya boleh merawat air kumbahan dari kawasan perumahan dan bukan cecair dari industri.

“Loji tidak dapat merawat air kerana pihak tidak bertanggungjawab membuang bahan industri dalam sistem pembentungan yang tidak boleh dirawat oleh loji,” katanya semalam.

IWK menafikan dakwaan ia terbabit dalam pencemaran bau yang dikesan di Sungai Selangor, sebaliknya ia disebabkan pembuangan sisa haram oleh pihak ke-3.

Loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas tengah hari semalam yang menjejaskan 1,139,008 akaun pengguna di 1,279 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Ini ialah gangguan bekalan air ke-7 yang berlaku di Lembah Klang tahun ini. -FMT

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share