Loji beroperasi semula, bekalan air pulih mulai 3 petang

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Bekalan air di 1,279 kawasan di Lembah Klang dijangka akan mula diterima pengguna secara berperingkat mulai 3 petang, hari ini selepas 4 loji rawatan air (LRA) yang ditutup semalam kerana pencemaran di Sungai Selangor beroperasi semula.

-Advertisement-

Air Selangor dalam kenyataan berkata LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3, dan Rantau Panjang telah beroperasi semula pada pukul 2:40 pagi tadi selepas bacaan 0 TON (ukuran kadar bau) sebanyak 3 kali berturut-turut direkodkan.

“Sehingga jam 7 pagi ini, keempat-empat LRA telah selesai melaksanakan aktiviti pencucian dan pengepaman di setiap bahagian dalam proses rawatan di LRA bagi memastikan kualiti air yang dibekalkan adalah bersih dan selamat mengikut piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Air Selangor sedang berusaha untuk menstabilkan sistem agihan sebelum bekalan air dapat diagihkan kepada para pengguna,” katanya.

-Advertisement-

Katanya, sebanyak 111 lori tangki digerakkan, 14 pili awam disediakan dan 17 pusat khidmat setempat dibuka selain air minum diagihkan kepada penduduk terjejas.

Terdahulu, pencemaran bau yang menyebabkan LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas tengah hari Selasa disyaki berpunca akibat perbuatan sabotaj.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata siasatan awal pihaknya mendapati pencemaran bau dipercayai cecair pelarut itu dikesan dari loji Indah Water Konsortium (IWK) di Taman Velox, Rawang.

Bagaimanapun, IWK dalam kenyataan hari ini menafikan pihaknya terlibat dalam pencemaran itu.

Henti tugas LRA Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang akibat pencemaran bau itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual mulai 6 petang Selasa melibatkan 1,139,008 akaun pengguna di Lembah Klang merangkumi 1,279 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat. -FMT

Share this Article
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •