JAS patahkan cubaan bawa masuk kontena sisa buangan elektronik

Estimate Reading Time: < 1 minute

BUTTERWORTH – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mematahkan cubaan membawa masuk dua kontena berisi bahan buangan elektrik dan elektronik di Pelabuhan Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini semalam.

-Advertisement-

Perbuatan itu dikesan hasil pemeriksaan dilakukan bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Dalam satu kenyataan dikeluarkan JAS, pemeriksaan mendapati dua kontena yang diimport masuk oleh premis kitar semula barangan terpakai mengandungi sisa buangan terjadual elektrikal dan elektronik (SW 110) dicampur dengan sisa plastik dan logam yang dihancurkan.

“Campuran buangan terjadual dan buangan bukan terjadual ini tidak sepatutnya dibawa masuk ke negara ini dan JAS sedang mengenal pasti pemilik kontena berkenaan.

-Advertisement-

“Selain tindakan penguatkuasaan akan diambil pemilik kontena akan diarah untuk menghantar semula buangan-buangan ini ke negara asal,” kata kenyataan tersebut.

Sementara itu, Exco Alam Sekitar dan Kebajikan Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, cubaan membawa masuk sisa ke negeri ini bukan perkara baharu, malah pihaknya mendapati banyak bahan e-waste yang dibawa melalui NBCT sebelum ini.

“Saya telah menerima laporan mengenai rampasan semalam dan difahamkan dua kontena terbabit dibawa dari Jepun.

“Setakat ini kerajaan negeri masih menunggu laporan lengkap termasuk berat sisa yang dibawa masuk dan pihak berkuasa sedang mengenal pasti syarikat yang mengimport bahan terbabit,” katanya.

Beliau berkata, NBCT dan JKDM akan terus bekerjasama dan memastikan setiap kontena yang sampai ke negeri ini akan diimbas melalui mesin pengimbas khas yang terdapat di pelabuhan berkenaan. -Sinar Harian

Share this Article
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •