KKM sudah ada pelan khusus vaksinasi Covid-19, kata menteri

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) sudah mempunyai pelan vaksinasi Covid-19 khusus untuk rakyat dengan pelaksanaannya dibuat apabila vaksin berkualiti mengikut dasar vaksinasi negara, iaitu berkesan dan selamat, sedia diperolehi.

-Advertisement-

Menterinya Dr Adham Baba berkata, pelaksanaan program itu akan dibuat secara berperingkat dengan keutamaan diberikan kepada kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas dan petugas barisan hadapan.

Ia berikutan permintaan vaksin Covid-19 di peringkat global dijangka sangat tinggi, sekali gus memberi kesan kepada bekalan ke negara ini.

“Keutamaan akan diberi kepada petugas barisan hadapan terbabit dalam kawalan Covid-19 secara langsung, kumpulan perlu dilindungi, termasuk warga emas dan pesakit ko-mobiliti.

-Advertisement-

“Program vaksinasi ini akan diperluas kepada rakyat lain sehingga mencapai imuniti seperti disarankan,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) yang mahu KKM menyatakan pelan khusus dan strategi pelan vaksinasi apabila vaksin Covid-19 diperolehi.

Awal minggu lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan akan mula membuat tempahan awal vaksin Covid-19 menerusi peruntukan berjumlah lebih RM3 bilion dalam Belanjawan 2021.

Beliau berkata, pihaknya yakin peruntukan itu mencukupi bagi membuat tempahan awal vaksin berkenaan yang dianggarkan diperoleh pada suku pertama tahun depan selepas mendapat kelulusan KKM. -FMT

Share this Article
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •