Tingkatkan caruman KWSP bila ekonomi pulih

Estimate Reading Time: < 1 minute

SHAH ALAM – Jika kerajaan bercadang untuk membenarkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada akaun satu, pekerja perlu tingkatkan kadar caruman dan simpanan KWSP apabila ekonomi pulih kelak.

-Advertisement-

Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Jaringan Industri dan Masyarakat) Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, peningkatan kadar caruman dan simpanan tersebut bertujuan untuk meningkatkan jumlah simpanan yang telah digunakan sebelum ini.

“Selain pekerja, majikan juga boleh membantu untuk meningkatkan kadar caruman apabila ekonomi sudah bertambah baik,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Mohamad Fazli berkata, beliau melihat inisiatif yang diambil oleh kerajaan untuk beri peluang kepada golongan bersasar mengeluarkan sebahagian wang daripada akaun satu KWSP adalah bertepatan dengan situasi yang berlaku sekarang.

-Advertisement-

“Namun, rakyat masih keliru sama ada mereka tergolong dalam golongan tersebut atau tidak.

“Oleh itu, kerajaan perlu mengeluarkan satu kriteria untuk memberikan gambaran jelas tentang golongan bersasar,” katanya.

Beliau juga menyarankan rakyat supaya menggunakan wang KWSP yang dikeluarkan itu ke arah sesuatu perkara yang boleh menambah sumber pendapatan mereka.

“Dalam tempoh tersebut, kita harap ekonomi akan pulih dan mereka yang terjejas akan dapat kembali bekerja semula,” katanya. -SINAR HARIAN

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share