COVID-19: Sambut Deepavali secara sederhana, patuhi SOP

Estimate Reading Time: 2 minutes

GEORGE TOWN, 13 Nov — Rakyat Pulau Pinang yang bakal menyambut perayaan Deepavali esok, diharap menyambutnya secara sederhana dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), ketika negara berdepan situasi sukar susulan pandemik COVID-19.

-Advertisement-

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, COVID-19 telah mengubah keseluruhan landskap serta kelaziman termasuklah perayaan Deepavali tahun ini apabila amalan tradisi ‘balik kampung’ serta upacara keagamaan adalah terhad dan disambut mengikut SOP yang ketat.

“Kerajaan negeri memahami situasi sukar ini dan berharap rakyat Pulau Pinang terutama mereka yang bakal menyambut perayaan Deepavali agar meraikannya secara bersederhana dan mematuhi peraturan-peraturan sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebagaimana yang telah digariskan.

“Saya berharap semua memahami bahawa keputusan yang dilaksanakan adalah berdasarkan fakta, justeru, kita perlu menerima hakikat bahawa situasi semasa kini memerlukan pelaksanaan PKPB,” katanya dalam perutusan sempena Deepavali hari ini.

Esok, masyarakat beragama Hindu bakal menyambut perayaan Deepavali. Diibaratkan sebagai Pesta Cahaya, nyalaan pelita yang sinonim sebagai lambang kemenangan ke atas kuasa kejahatan ini secara simboliknya memberi maksud dan pengertian yang sangat bermakna terutamanya terhadap penerapan nilai-nilai positif dalam kehidupan.

-Advertisement-

Chow berkata sememangnya, sambutan perayaan dalam normal baharu adalah suatu kelainan namun dengan kepelbagaian penawaran kemudahan serta perkhidmatan jalur lebar dalam era teknologi digital masa kini, setiap individu masih boleh berhubung secara dua hala terutamanya dengan orang tersayang iaitu ibu bapa di kampung dan sanak saudara sepanjang musim perayaan berkenaan.

Selain itu katanya, kerajaan negeri terus memperkasakan komuniti India apabila Lembaga Wakaf Hindu (HEB) Pulau Pinang diangkat menjadi organisasi penting dalam membantu komuniti India di negeri ini.

Selain itu, Chow berkata bantuan pendidikan kepada pelajar yang berjaya mendapat tempat di institusi pengajian tinggi, pengurusan kuil serta krematorium ditambah baik dan bantuan perubatan kepada yang memerlukan turut diberikan menerusi peruntukan berjumlah RM1.5 juta kepada HEB Pulau Pinang.

“Di samping itu, bagi 2021 juga, kerajaan negeri turut memperuntukkan dana pendidikan sebanyak RM2 juta bagi tujuan pembangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan RM150,000 masing-masing kepada tadika-tadika di sekolah Tamil seluruh negeri ini. Dana berjumlah RM150,000 turut disalurkan kepada Tabung Khas Sekolah Tamil dan peruntukan RM90,000 turut diberikan untuk tujuan pembangunan sekolah-sekolah Punjabi di Pulau Pinang.

“Secara keseluruhan, sehingga tahun ini, seramai 109 pelajar layak telah menerima pembiayaan biasiswa daripada HEB Pulau Pinang dengan jumlah keseluruhan RM157,450 bagi membolehkan mereka melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Chow berkata inisiatif serta pendekatan yang diambil membuktikan bahawa kerajaan negeri terus meletakkan agenda memperkasakan modal insan sebagai keutamaan selaras dengan tema Belanjawan 2021 Pulau Pinang iaitu ‘Transformasi Pemulihan dan Ketahanan Ekonomi ke Arah Dimensi Baharu Terbilang’. -BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share