Kesan negatif HSR hanya jangka pendek, kata penganalisis ekonomi

Estimate Reading Time: < 1 minute

SEGAMAT: Penganalisis ekonomi berkata, kebimbangan mengenai saingan pekerjaan dan pelabur Singapura berubah angin ke ibu negara berbanding Johor hanyalah kesan negatif jangka pendek selepas projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) disiapkan.

-Advertisement-

Penganalisis ekonomi dari Putra Business School, Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kesan negatif dan perubahan itu akan jelas kelihatan di peringkat permulaan pengoperasian HSR, di mana penduduk Johor terpaksa bersaing dengan pencari kerja dari Kuala Lumpur atau utara Semenanjung untuk bekerja di Singapura.

Katanya, peniaga atau pelabur Singapura akan meneroka dan mencari kawasan kurang padat di sepanjang jajaran HSR untuk memperluaskan atau membina cawangan untuk perniagaan mereka.

“Pada permulaan akan nampak saingan, tetapi kita perlu melihat matlamat jangka panjang HSR, iaitu merancakkan ekonomi sepanjang laluan dan dalam jangka panjang, isu saingan ini tidak akan muncul lagi,” katanya kepada FMT.

-Advertisement-

Beliau berkata demikian susulan banyak persepsi dan kebimbangan selepas HSR mula beroperasi, ia akan mengubah landskap ekonomi Johor kerana ramai tenaga kerja di negeri itu masih bergantung kepada peluang pekerjaan di negara jiran dan peniaga atau pelabur dari Singapura akan “berubah angin” memperluaskan perniagaan mereka ke Kuala Lumpur berbanding Johor.

Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 berkata, kerajaan berhasrat meneruskan projek HSR yang ditangguhkan kerana ia dijangka menjana kesan pengganda positif kepada ekonomi negara.

Seorang lagi penganalisis ekonomi, Madeline Berma berkata, keputusan Putrajaya itu perlu dilihat dalam konteks Belanjawan 2021, tetapi beliau tidak menafikan projek HSR selepas disiapkan akan membawa pelbagai impak kepada ekonomi.

“Kesan ekonomi dan impak itu ada, tetapi kita perlu melihat secara makro terlebih dahulu, iaitu kerajaan mesti meneruskan serta mempercepatkan projek besar atau mega kerana ia memberi 2 kesan, iaitu peluang pekerjaan dan kesan pengganda dalam bentuk peluang perniagaan kepada subkontraktor atau pembekal.” -FMT

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share